KUALA LUMPUR: Sebanyak RM1 bilion lagi akan diperuntukkan untuk membendung gelombang ketiga Covid-19 tahun depan, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Katanya, peruntukan itu merangkumi RM475 juta bagi pembelian bekalan reagen, kit saringan dan bahan guna habis khusus untuk kegunaan Kementerian Kesihatan atau KKM; RM318 juta penyediaan Kelengkapan Perlindungan Diri (PPE) dan perbersih tangan.
“RM150 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi menyelaras usaha memerangi Covid-19 manakala RM50 juta bagi perolehan peralatan, bekalan ujian makmal dan ubat-ubatan di Hospital Pengajar Universiti,’’ katanya.
Pada tahun ini, katanya, kerajaan memperuntukkan RM1.8 bilion bagi pelaksanaan kawalan pergerakan serta keperluan perkhidmatan kesihatan awam berkaitan Covid-19.
Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga sudah menyertai program Vaccine Global Access atau COVAX untuk mendapatkan bekalan vaksin virus itu melibatkan kos melebihi RM3 bilion.
Beliau berkata, kadar siling Kumpulan Wang Covid-19 di bawah Akta Langkah-langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019) akan dinaikkan sebanyak RM20 bilion kepada RM65 bilion.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, pelepasan cukai diberi ke atas perbelanjaan vaksinasi bagi diri sendiri, pasangan dan anak-anak terhad kepada RM1,000 ringgit meliputi vaksinasi seperti pneumokokal, influenza serta Covid-19
Beliau juga memberitahu, mySalam telah membayar pampasan kepada 19,000 individu berjumlah RM11 juta disebabkan Covid-19 sehingga 31 Oktober lalu. – UTUSAN ONLINE










