Proton e.MAS catat 17,604 pendaftaran setakat Jun 2026 

Proton e.MAS catat 17,604 pendaftaran setakat Jun 2026 

PROTON e.MAS merekodkan sebanyak 17,604 pendaftaran setakat Jun 2026 bagi portfolio kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan hibrid plug-in (PHEV).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pro-Net terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran kenderaan elektrik tempatan apabila jenama Proton e.MAS merekodkan 17,604 pendaftaran setakat Jun 2026 bagi portfolio kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan hibrid plug-in (PHEV).

Prestasi cemerlang itu dipacu oleh momentum positif pada bulan Jun sahaja yang mencatatkan sebanyak 3,026 pendaftaran, sekali gus membuktikan penerimaan pengguna yang semakin meningkat terhadap solusi mobiliti hijau.

Proton e.MAS 7 PHEV menjadi pemacu utama pertumbuhan dengan merekodkan 1,138 pendaftaran pada Jun, membawa jumlah pendaftaran keseluruhan setakat tahun ini sehingga Jun 2026 kepada 4,074 unit sejak diluncurkan pada Februari lalu. 

Model ini turut mengumpul lebih 11,000 tempahan setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang berkata, pencapaian e.MAS 7 PHEV telah melepasi jangkaan syarikat dan menunjukkan kesediaan rakyat Malaysia untuk menerima kenderaan elektrik yang praktikal.

“Pencapaian ini membuktikan peningkatan keyakinan terhadap jenama Proton e.MAS serta mencerminkan komitmen kami untuk terus menyediakan penyelesaian mobiliti inovatif yang menyokong setiap fasa perjalanan elektrifikasi,” katanya dalam kenyataan.

Ditawarkan pada harga bermula RM105,800 untuk varian Prime, model segmen C ini menawarkan ruang kabin luas setanding segmen D, namun mengekalkan kos operasi yang cekap dan kompetitif. 

Sementara itu, model e.MAS 5 turut mengekalkan prestasi kukuh dengan menyumbang sebanyak 1,309 pendaftaran pada bulan Jun.

“Bagi segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik tulen, Proton e.MAS 7 mencatatkan 579 pendaftaran pada Jun, sekali gus menjadikan jumlah pendaftaran awal tahun hingga kini sebanyak 2,864 unit dengan lebih 11,542 unit e.MAS 7 kini berada di jalan raya Malaysia sejak ia mula dilancarkan pada Disember 2025,” katanya. 

Pro-Net turut memperluas portfolio segmen ini dengan memperkenalkan varian tertinggi, e.MAS 7 Premium Plus di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS 2026) baru-baru ini.

Varian premium ini menawarkan jarak pemanduan sehingga 450 kilometer (WLTP) serta dilengkapi ciri mewah seperti kerusi urutan hadapan berkembar dan keupayaan pengecasan pantas arus terus (DC) 115 kilowatt (kW) yang membolehkan bateri di cas dari 30 hingga 80 peratus dalam tempoh kira-kira 20 minit.

Bagi merancakkan lagi jualan, Pro-Net kini menawarkan rebat pelancaran khas bernilai RM7,000 untuk tempoh terhad bagi semua varian e.MAS 7 (EV), menyaksikan harga varian Prime kini bermula daripada RM96,800 manakala varian Premium Plus ditawarkan pada harga RM118,800. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN