Rentas negeri seluruh negara dilarang - Utusan Malaysia

Rentas negeri seluruh negara dilarang

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seluruh negeri kecuali Perlis, Kelantan, Pahang dan Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama 28 hari bermula Isnin ini hingga 6 Disember.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perintah itu sekali gus menyekat pergerakan penduduk terutama merentas negeri berikutan peningkatan ketara bilangan kes positif Covid-19 dan kadar keboleh jangkitan di negeri-negeri tersebut.

Beliau berkata, bagaimanapun pengecualian PKPB di empat negeri itu turut tidak dibenarkan merentas negeri melainkan pergerakan dalam daerah sahaja.

Katanya, ini termasuk lara­ngan pergerakan rentas negeri dari Semenanjung, Sabah dan Labuan ke Sarawak kecuali dengan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pergerakan rentas daerah dalam Sarawak dibenarkan kecuali ke daerah Kuching.

“Pelaksanaan baharu PKPB di negeri-negeri ini akan meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah yang sepatutnya berakhir 9 November ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Menurut Ismail Sabri, prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan PKPB itu adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini antaranya bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran majikan.

Jelas beliau, semua kegiatan ekonomi dibenarkan berope­rasi seperti biasa mengikut SOP yang telah ditetapkan.

“Hanya dua orang dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan ke­perluan. Individu yang berisiko tinggi dan kanak-kanak tidak digalakkan keluar ke kawasan awam, terbuka dan sesak.

“Semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz adalah ditutup. Aktiviti-aktiviti keagamaan di masjid dan surau seperti laungan azan, solat lima waktu dan solat Jumaat akan ditentukan pihak berkuasa agama negeri,” katanya.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) akan dilaksanakan di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Al-Yahyawiah, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak bermula hari ini (8 November) hingga 21 November ini.

Katanya, sehingga kelmarin, saringan Kementerian Kesihatan merekodkan sebanyak 27 kes Positif Covid-19 di kawasan tersebut dan pelaksanaan pe­rintah itu bagi memudahkan sa­ringan bersasar melibatkan 123 pelajar dan 11 petugas bagi menyekat penularan komuniti setempat.

Pada masa sama beliau berkata, perintah Temco di Taman Semarak dan PPR Sri Ba­lung, Tawau ditamatkan.

Katanya, sebanyak 2,051 sa­ringan di Taman Semarak dan 1,149 saringan di PPR Sri Balung dibuat dan mendapati hanya 13 kes masih aktif di kedua-dua kawasan tersebut.

“Penilaian risiko yang dijalankan mendapati situasi kes Covid-19 di kedua-dua lokaliti ini mencatatkan trend penurunan dan terkawal,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN