KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditambah sebulan lagi sehingga 6 Disember ini melibatkan hampir semua negeri membimbangkan banyak pihak terutama golongan yang terpinggir dalam Belanjawan 2021.
Ekoran itu Kerajaan Perikatan Nasional (PN) disaran melihat semula isi belanjawan berkenaan selepas ada suara-suara yang dilihat berasa kurang senang dengan beberapa inisiatif yang diumumkan kelmarin.
Turut dikhuatiri, belanjawan bernilai RM322.5 bilion itu akan gagal mengimbangi natijah daripada pelaksanaan PKPB bermula esok yang diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, penganalisis ekonomi, Prof. Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berpendapat, untuk mengelakkan tekanan dalam kalangan rakyat, kerajaan tidak boleh menghalang sebarang aktiviti ekonomi termasuklah peniaga kecil dan penjaja di bahu jalan.
Beliau berkata, meskipun begitu, sekatan rentas negeri tetap akan mendatangkan kesan langsung kepada beberapa sektor antaranya industri pelanco
ngan.
“Dalam keadaan sebegini, kegiatan ekonomi perlu berjalan. Jika tidak ramai yang akan tertekan kerana bantuan yang diumumkan semalam (kelmarin) hanya bermula awal Januari.
“Tempoh empat minggu ini, sektor pelancongan akan paling terjejas meskipun kita tak tutup ekonomi. Bukan sahaja di negeri-negeri yang terlibat PKPB malah turut membabitkan Perlis, Pahang dan Kelantan kerana halangan rentas negeri,” katanya ketika dihubungi semalam.
Secara jelas, perkara yang paling menjadi perdebatan dari kedai kopi sehinggalah ke ruang maya adalah lanjutan moratorium bersasar dan mekanisme pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dikatakan gagal memenuhi ‘selera’ majoriti rakyat.
Ada yang mempertikai, jika kekangan kewangan dijadikan sebab ia tidak boleh dilaksanakan, mengapa pula peruntukan besar lebih RM80 juta boleh disediakan untuk menghidupkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang masih samar tujuannya.
Para pencarum KWSP menyifatkan pengeluaran secara bersasar sebanyak RM500 sebulan sebagai keputusan tidak rasional.
Rata-rata yang ditemui Mingguan Malaysia berpendapat, kerajaan sepatutnya memberi kebebasan untuk pencarum membuat pengeluaran secara pukal RM10,000 atau mengikut tangga gaji mereka.
Kata mereka, paling tidak pun sekurang-kurangnya dapat dijadikan modal berniaga.
Tidak dapat dinafikan, meskipun Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) memperuntukkan RM6.5 bilion berbanding hanya RM5 bilion sebelum ini, namun ia dilihat tidak mesra kepada golongan bujang yang berpendapatan lebih RM2,500.
Ini kerana, ada kemungkinan juga mereka bertanggungjawab menanggung ibu bapa dan adik-beradik.
Para pekebun kecil juga nampaknya tidak senang hati meskipun Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan peningkatan sekali ganda Insentif Pengeluaran Getah dan pengenalan semula subsidi baja padi bukit.
Para peladang kelapa sawit meminta kerajaan mengkaji semula kepentingan bantuan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS).
Berdasarkan faktor-faktor sedia ada, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu berlapang dada untuk menyemak semula inisiatif yang terkandung dalam Belanjawan 2021.
Input-input daripada sesi perbahasan di Dewan Rakyat bermula esok perlu diambil perhatian kerana belanjawan di zaman penularan pandemik tidak boleh kekal bersifat ‘statik’, sebaliknya perlu disesuaikan dengan keadaan semasa yang sukar diramal berikutan ancaman Covid-19. – UTUSAN ONLINE










