KUALA LUMPUR: Setiap bulan purata 315 kanak-kanak dan remaja dikesan terbabit dalam kes penyalahgunaan dadah di negara ini dengan Kelantan merekodkan kes paling ramai.
Mengikut statistik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam tempoh tiga tahun sejak 2018 sehingga Jun lalu, secara kumulatifnya, sebanyak 9,458 pelajar sekolah rendah hingga menengah berumur 12 hingga 20 tahun terjebak dengan gejala tidak sihat tersebut.
Ini sekali gus menunjukkan penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat dikesan berlaku seawal 12 tahun.
AADK juga menjelaskan, jumlah kes yang sudah direkodkan dalam data 2018 mungkin dibawa ke 2019 (kumulatif) jika individu terlibat belum tamat tempoh pengawasan.
Mendedahkan kepada Mingguan Malaysia, Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 3,289 remaja berusia 13 sehingga 18 tahun terlibat dengan dadah.
Kata Zulkifli, manakala sebanyak 17 lagi dicatatkan dalam tempoh sama iaitu mereka yang berusia 12 tahun.
“Bagaimanapun, penagihan dalam kalangan kanak-kanak di bawah 12 tahun tiada direkodkan setakat ini. Sebaliknya ketagihan dadah di bawah kategori belia berusia 19 sehingga 39 tahun masih tinggi apabila sebanyak 249,284 direkodkan dalam tempoh tiga tahun ini.
“Kewujudan pelbagai jenis dadah sintetik yang semakin berleluasa menyebabkan remaja dan pelajar-pelajar sekolah sentiasa berisiko terdedah dengan kegiatan penyalahgunaan dadah,” katanya di sini semalam.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, dadah yang paling popular dalam kalangan pelajar ialah Amphetamine-Type Stimulants (ATS) apabila sebanyak 8,052 ketagihan dicatatkan.
Mengulas mengenai dadah jenis ATS, Zuklifli memberitahu, dadah daripada kumpulan tersebut adalah seperti syabu, pil kuda dan ekstasi.
Jelas Zulkifli, penyalahgunaan dadah jenis itu menyebabkan pengambilnya khayal tetapi bertenaga
“Mereka merasakan bahawa dadah ini membolehkan badan mereka untuk terus berfungsi sedangkan pada hakikatnya syabu sedang merosakkan fizikal dan otak mereka, terutamanya dengan penggunaan yang berulang.
“Apa yang membimbangkan, ketagihan akan menjadi lebih teruk apabila penagih bergantung kepada dadah ini sehingga menyebabkan masalah mental,” ujarnya.
Tambah Zulkifli, selain itu, sebanyak 589 ketagihan dadah jenis opiat diikuti 525 ganja diikuti pil psikotropik (79), candu (2) dan lain-lain (211).
“Berdasarkan statistik tersebut, Kelantan adalah negeri tertinggi penglibatan dadah dalam kalangan pelajar apabila sebanyak 1,417 individu positif dalam tempoh itu. Diikuti, Johor (912), Pahang (872) Selangor (859) dan Sarawak (805).
“Disebabkan kedudukan negeri ini berdekatan dengan negara jiran jadi kemasukan dadah dipercayai melalui jalan-jalan tikus. Begitu mudah dan bekalan dadah ini sampai seterusnya menyumbang peningkatan penagihan dadah di kalangan pelajar di lima negeri ini,” jelasnya.
Dedah Zulkifli, ketagihan golongan kanak-kanak dan remaja ini bukan sahaja terhadap dadah-dadah berkenaan malah ada juga dikesan meminum ketum walaupun mereka tidak memerlukannya.
“Kalau kita lihat sekarang, kanak-kanak turut didapati meminum ketum dan sekiranya perkara ini tidak dibendung, kita bimbang tidak mustahil mereka boleh terjebak dengan pengambilan dadah lain.
“Justeru itu, AADK sama sekali tidak akan berdiam diri kerana kita sentiasa melakukan saringan untuk mengenal pasti murid yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah supaya tindakan intervensi awal dapat dilakukan sebelum mereka menjadi penagih tegar.
“Selain, kita juga memiliki Pusat Pemulihan khas di Karangan, Kedah bagi menempatkan mereka yang berada dalam kelompok umur persekolahan iaitu 13 hingga 18 tahun dan ibu bapa memainkan peranan penting dalam memantau anak-anak mereka,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE










