Ping masuk bak seketul emas - Utusan Malaysia

Ping masuk bak seketul emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagi pemandu Grab ketika musim Covid-19 ini, Ping masuk yang terpapar pada aplikasi Grab, seumpama seketul emas. Kenapa saya begitu? Sebabnya, ketika ini, pemandu Grab menghadapi saat getir luar biasa. Penumpang berkurangan. Salah satu faktor sudah pasti kerana ketiadaan warga asing antara penumpang yang banyak menyumbang harga tambang yang tinggi.
Ketika ini berjam-jam berlegar di lokasi yang satu ketika dulu tak putus-putus Ping berbunyi, sudahnya berakhir dengan kecewa. Ia lah, kalau dah tunggu tiga jam, tapi dapat pesanan sekadar RM20, tak sedih? Masa terbuang, minyak habis, otak sakit dan badan pun penat, itu antara keluhan rakan-rakan pemandu.
Namun, apa lagi mampu dibuat? Harungi jugalah dengan harapan pihak Grab boleh membantu pemandunya yang dalam kesempitan ketika ini.
Bersembang dengan rakan pemandu, seorang wanita yang saya panggil Siti bercerita tentang ‘kesakitan’ yang dialami pemandu e-hailing.
Kata Siti, apabila kita rasa diri kita susah tapi sebenarnya ada ramai lagi berdepan banyak masalah.
“Contohnya, baru-baru ni terkena dekat aku. Aku ambil penumpang dekat sebuah rumah di sekitar Shah Alam. Dia minta aku hantar ke satu tempat. Di dalam kereta kami bersembang. Rupanya, kereta dia rosak tepi jalan. Jadi, dia mahu ke sana semula .
“ Cuma nak dijadikan cerita, lepas kereta rosak dia balik ke rumah sekejap. Sampai di rumah, telefon bimbit dia jatuh dan pecah teruk.
“ Dia panggil Grab pun melalui isteri. Si isteri yang order,” cerita Siti.
Kata Siti, tambang dari rumah ke lokasi kereta rosak pun tidaklah besar, sekadar RM11. Jarak juga tak jauh.
“Cuma bila sampai ke keretanya, dia minta tolong aku telefon syarikat tunda kereta. Maklumlah telefon dia dah rosak, langsung tak boleh guna.
“Dia juga minta aku ikut ke bengkel sebab dia nak balik ke rumah terus lepas itu. Aku pun setuju sajalah sebab Ping pun memang `sendu’ sangat.
“Daripada buang masa tunggu buah tak gugur, ada buah depan mata ni, aku sambarlah,” cerita Siti.
Sebenarnya jarak dari lokasi kereta rosak ke bengkel tidaklah jauh, beberapa kilometer saja. Namun, si penumpang memberi tambang RM20, lebih RM9 daripada tambang awal RM11 tadi.
“Aku kasihan pada dia. Kereta rosak, telefon barai, jadi aku berniat nak bantu dia. Kos tunda kereta pun dah RM100. Bila selesai urusan hantar kereta ke bengkel, aku hantar dia ke rumah semula. Dia tanya berapa aku caj sebab aku dah tak pakai aplikasi Grab.
“Aku cakaplah, baki tambang tadi pun ada RM9 lagi. Itu pun dah cukup untuk aku sebab aku kasihan dia mesti nak guna banyak duit.
“Cuma itulah, bila niat kita baik. Mesti kita dapat hasil yang baik juga. Penumpang itu terkejut aku tak kenakan caj tambahan. Terus dia bagi RM50. Rupanya dia pun kasihan aku yang tak ada penumpang. Aku pula kasihankan dia,” kata Siti sambil tergelak.
Cuma kata Siti, bila keluar dari kawasan perumahan dermawan itu, baru dia perasan penumpang tersebut tertinggal bungkusan berisi pelbagai jenis roti.
“Terpaksa pula aku hantar balik roti dia,” kata Siti.
“Kenapa kau tak ambil saja? Makan dalam kereta?,” tanya saya menguji.
“Gila kau, dahlah di kereta rosak, telefon pun tak boleh guna. Nak telefon Grab Food pun tak boleh. Kot roti itu dia nak makan, macam mana pula dia nak beli lagi,” kata Siti membeliakkan mata. Berderai ketawa kami. Terlupa sudah berjam sembang, satu Ping pun tak masuk! Aduhai. – Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN