Penulis oh! penulis, jasamu besar, nasibmu terabai... - Utusan Malaysia

Penulis oh! penulis, jasamu besar, nasibmu terabai…

Mohamad Saleeh Rahamad.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seorang penulis yang juga sejarawan ulung Rusia yang nasionalis dan pro monarki, Aleksandr Solzhenitsyn pernah menulis kenyataan berikut: “Negara yang memiliki penulis hebat, ibarat memiliki ‘daulah terpendam’. Sebab itulah tiada rejim yang pernah menyukai penulis-penulis hebat kerana khuatir dengan ketajaman penulisan mereka”.
Jika di Rusia, Solzhenitsyn menjadi mangsa kekejaman komunis-Bolsheviks, yang menjadikan kem tahanan Gulag di Siberia bersalji ganas sebagai senjata melumpuhkan moral rakyat, hal sama turut menimpa nasib penulis di Malaysia.
Bezanya, di tanah air tiada ‘Gulag’ yang mengepung kemaraan kumpulan penulis, sebaliknya penerimaan pasaran yang sangat lemah sehingga mengakibatkan ramai angkat kaki dan gulung tikar.

REALITI NASIB PENULIS
Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi, Universiti Malaya (UM) yang juga Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) sejak 2010, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berkata, secara kasar ada kebenaran di sebalik dakwaan bahawa sebahagian besar penulis buku tanah air tidak mampu jadikan hasil karya sumber pendapatan.
Katanya, sekali pun tiada statistik mengenai perkara itu, namun kebenaran dakwaan tersebut dapat diterjemahkan melihatkan nasib penulis buku sastera tanah air.
“Jika buku sastera, dakwaan ini barangkali benar. Pulangan buku sastera tidak mungkin memberikan kekayaan kepada penulisnya kecuali segelintir bagi buku popular.
“Hal ini berlaku kerana pasaran kita kecil dan minat pembaca terpecah mengikut minat masing-masing. Mana mungkin seorang penulis boleh kaya hanya menjual 1,000 naskhah, jika mengikut kelaziman cetakan pertama. Jumlah sebanyak itu pun sukar dihabiskan,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

FAKTOR KOMISEN
Katanya, antara faktor mengakibatkan barisan penulis tanah air, rata-rata terpinggir ekonominya perlu disandarkan kepada persoalan membabitkan komisen yang diperoleh mereka.
“Seorang penjual buku mungkin boleh mengaut keuntungan tetapi berapa peratus hasil jualan kembali kepada penulis? Sangat kecil. Mungkin 10 peratus atau tujuh peratus, bergantung pada penerbitnya,” jelasnya.
Dalam konteks ini beliau berkata, antara langkah yang boleh diambil penulis, termasuk menjual bukunya sendiri dan bukan berharap pada pengedar atau penerbit.
“Pada masa sama, penerbit perlu memberikan diskaun yang sama diberikan kepada pengedar iaitu 60 peratus atau sekurang-kurangnya 50 peratus daripada harga asal,” katanya.

MEMECAH TEMBOK KEBUNTUAN
Menurutnya lagi, segelintir penulis yang dilihat berjaya memecah tembok kebuntuan industri, termasuk kalangan penulis buku agama.
“Barangkali penulis buku agama boleh mendapat pulangan yang baik kerana mereka sendiri menjual buku semasa memberikan ceramah di samping pengorbanan masyarakat untuk `melabur’ di jalan agama.
“Selain itu, mungkin dakwaan mengenai ada segelintir penulis yang berjaya, merujuk kepada penulis karya sastera popular yang pernah melonjak pada dekad 90-an, 2010-an, tetapi kini hal itu sudah tidak berlaku lagi,” jelasnya.
Tambah beliau, mungkin ada segelintir penulis yang masih mampu mencari pendapatan melalui buku tetapi jumlahnya sangat kecil.
“Mereka yang `berjaya’ ini sudah ada pengikut setia. Walau apa pun karya dihasilkan, pengikutnya akan membeli buku itu. Pasaran kita kecil dan pembelinya orang sama,”katanya.

SUBURKAN INDUSTRI
Menurut Mohamad Saleeh, dalam konteks menyuburkan kembali industri yang kian suram, penulis perlu berusaha sendiri menjadi model, penjual dan promoter bagi buku masing-masing.
“Musim pandemik Covid-19 menambah parah hayat kedai buku kerana pengunjung sudah terhalang untuk datang, pesta buku dibatalkan dan pendapatan rakyat terjejas dan mereka mengutamakan keperluan lain berbanding membeli buku,” terangnya.
Pada masa sama beliau berkata, kerajaan tidak akan mampu membantu industri buku secara berterusan dalam keadaan pandemik masih belum berakhir.
“Ketidakstabilan kerajaan mengganggu proses membangunkan negara dan kesannya mengalir kepada industri buku apabila sekolah dan perpustakaan, misalnya, berdepan dengan pengecutan bajet untuk pembelian buku. Baucar buku sudah beberapa tahun tidak aktif sedangkan itulah antara faktor penyubur industri buku,” katanya.

INISIATIF SENDIRI
Justeru beliau berkata, setiap penulis perlu mempromosikan diri dan karya mereka sendiri, menjualnya dengan gigih dan bukan lagi hanya mengharapkan penerbit untuk melariskan jualan.
“Setelah penulisan dijadikan sumber pendapatan, dia mesti melakukannya bersungguh-sungguh. Tetapi jika penulis tidak mengambil perhatian pada aspek jualan, iaitu dengan hanya mengharapkan penerbit, janganlah berharap untuk hidup dengan hasil jualan buku. Apatah lagi sekarang skala pasaran buku semakin kecil,” jelasnya menamatkan perbualan. – Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN