Pas tidak akan tinggalkan Bersatu, kukuhkan hubungan UMNO - Utusan Malaysia

Pas tidak akan tinggalkan Bersatu, kukuhkan hubungan UMNO

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pas telah menetapkan pendirian tidak akan meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selain terus memperkukuhkan hubungan dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).

Penegasan itu dibuat Mursyi­dul Am Pas, Datuk Hashim Jasin sekali gus mengesahkan kenya­taan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa sebelum ini bahawa sekutu mereka itu tidak akan me­ninggalkan Bersatu hanya untuk bekerjasama dengan UMNO semata-mata.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan UMNO agar menyelesaikan sebarang perkara berbangkit dengan Bersatu demi memperkukuhkan perpaduan dan kedudukan Melayu dan Islam di negara ini.

Katanya, jika berlaku penolakan kerjasama salah satu daripada tiga parti tersebut akan menyebabkan berkurangnya kekuatan Islam dan perkara itu cukup dinantikan oleh musuh.

“Disebabkan itu, penting­nya perpaduan dan kerjasama membabitkan tiga parti ini

“Pakatan tiga parti ini menggerunkan musuh politik di dalam dan luar negara. Apabila kita bergaduh sesama sendiri akan membuka ruang kepada musuh yang sememangnya menanti peluang ini.

Agenda kita lebih besar, jika ada perselisihan itu perlu diselesaikan dan kepenti­ngan peribadi perlu diketepikan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Annuar sebelum ini dilapor­kan sebagai berkata, untuk berjaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bukan dengan cara bergaduh atau berebut kerusi terbanyak sebaliknya UMNO, Pas dan Bersatu mesti terus bermuafakat.

Mengulas lanjut, Hashim berkata, Pas tidak akan mening­galkan Bersatu dan sebarang masalah serta pergeseran antara dua parti itu bukan masa yang sesuai untuk ditonjolkan.

“Tetapkan pendirian sekarang, kalau berselisih selesai secara baik. Cuma kita harapkan pergolakan yang berlaku itu dapat diselesaikan supaya penya­tuan ini berjalan dengan lancar demi kepentingan Melayu Islam.

“Kita kena sedar musuh kita tidak pernah tidur dan sentiasa cari peluang dan ruang bagi menghancurkan perpaduan yang sekian lama dinantikan oleh rakyat di negara ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN