KUALA LUMPUR: Lengang tanpa pembeli, seolah-olah ‘nyawa-nyawa ikan’ dan menunggu masa untuk berkubur.
Itu yang diperkatakan kebanyakan peniaga di Mara Digital Mall dekat Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini mengenai nasib pusat digital tersebut.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, suasana lengang tanpa pembeli dan kalau ada pun hanya singgah untuk menjamu selera makan tengah hari.
Menurut seorang pekerja yang menjaga kios komputer riba, Izzah Rahmat, 26, situasi tersebut sudah menjadi kebiasaan.
“Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau tidak, situasi masih sama. Tidak semua orang yang melalui bangunan ini tahu akan kewujudan kedai gajet di sini. Walaupun promosi sudah banyak dibuat namun masih tiada yang berubah,” katanya.
Katanya, bangunan tersebut seolah-olah dalam keadaan nyawa-nyawa ikan dan hanya menunggu masa untuk tutup.
“Jangankan memberi saingan, sedikitpun tidak menggugat perniagaan pusat digital lain. Mara Digital Mall hanya gah pada nama dan publisiti, tetapi kesan jualannya tidak ke mana,” katanya.
Seorang lagi peniaga telefon bimbit, Mohd. Izat Amir, 31, berkata, sepanjang mula berniaga di situ, pusat digital itu jelas kurang mendapat sambutan di tambah pula dengan pelaksanaan PKPB.
Bagaimanapun dia berusaha membuat jualan secara dalam talian melalui media sosial dan strategi itu menguntungkan.
“Saya boleh jual dengan harga yang fleksibel dan urusan lebih mudah. Boleh pos melalui Pos Laju atau buat penghantaran sendiri jika pembeli berada di sekitar Kuala Lumpur,” katanya.
Menurut seorang lagi peniaga, Siti Norain Ishak, 35, sebelum PKPB lagi sudah kekurangan pelanggan tambah pula dengan keadaan sekarang memang sangat berkurang.
“Bukannya tiada langsung pelanggan tetapi kalau yang datang ke sini mereka mungkin akan ke kedai lain atau gerai makanan,” katanya.
Katanya, oleh sebab itu mereka cuba menjalankan perniagaan secara dalam talian kerana jika harapkan keuntungan harian kedai memang tidak cukup untuk menampung kos yang lain.
Malah mereka yang berkunjung ke situ kebanyakannya adalah kakitangan pasar raya, restoran dan pejabat yang terletak di tingkat paling atas bangunan tersebut. – UTUSAN ONLINE










