PUTRAJAYA: Penglibatan pegawai perubatan dalam kalangan doktor yang mendalangi sindiket penjualan bayi adalah satu perbuatan serius dan boleh dikenakan tindakan di bawah beberapa perundangan yang dikuatkuasakan pelbagai agensi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kesalahan melibatkan penipuan itu adalah berkaitan beberapa akta seperti Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957, Akta Pendaftaran Negara 1959, dan Kanun Keseksaan.
Menurut beliau, jika melibatkan pengamal perubatan, aduan boleh dibuat kepada pihak Majlis Perubatan Malaysia (MMC) berdasarkan Akta Perubatan 1971 yang mengawal selia pengamal perubatan berdaftar.
“Sekiranya diketahui hospital swasta atau klinik swasta yang menjalankan aktiviti penjualan bayi, siasatan juga boleh dibuat di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586). Walau bagaimanapun, kuasa siasatan di bawah Akta 586 ini terhad kepada fasiliti kesihatan swasta sahaja,” katanya di sini semalam.
Menurut Noor Hisham, isu penjualan bayi perlu dilaporkan kepada pihak polis supaya siasatan dapat dijalankan.
Katanya, sekiranya ada premis fasiliti kesihatan swasta yang terlibat, pihak polis juga akan melibatkan pihak Kementerian Kesihatan melalui Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) bagi tujuan siasatan.
Utusan Malaysia semalam mendedahkan tindakan segelintir ibu bapa yang terlibat dalam sindiket penjualan bayi akibat tamak serta terdesak mendapatkan wang dengan sanggup menjual bayi mereka antara RM22,000 hingga RM30,000.
Lebih mengejutkan, mereka juga bersekongkol dengan doktor, penjawat awam serta individu lain bagi mengatur ‘jual beli’ tersebut supaya kelihatan seperti didokumentasi mengikut prosedur yang betul. – UTUSAN ONLINE









