KANGAR: Hanya dengan membawa dan memindahkan daun ketum dalam tempoh sekitar lima hingga 10 minit, segelintir nelayan tempatan yang terlibat dengan aktiviti penyeludupan tersebut mampu menjana pendapatan lumayan sehingga mencecah ribuan ringgit.
Difahamkan, nelayan yang terlibat dengan aktiviti tersebut diupah sekitar RM3 hingga RM5 setiap kilogram dan pendapatan mereka boleh mencecah sehingga RM5,000 jika melakukan penghantaran daun ketum sehingga 1,000 kilogram atau satu tan metrik daun berkenaan.
Malah, ada juga dalam kalangan nelayan diupah sindiket penyeludupan memberi maklumat dan memerhatikan pergerakan pihak berkuasa.
Sebagai rekod, jarak antara perairan negara dari muara Kuala Perlis ke sempadan Thailand hanya kira-kira 1.3 batu nautika dengan perjalanan pula sekitar beberapa minit sahaja.
Pergerakan penyeludup itu berada dalam perhatian Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang banyak mematahkan cubaan menyeludup di perairan negeri ini.
Terbaharu pada Ahad dan Isnin lalu. pihak berkuasa berkenaan merampas sebanyak 300 kilogram ganja dan 1,500 kilogram daun ketum bernilai RM1.02 juta.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd. Shafie Paing berkata, hasil lumayan menjadi antara faktor segelintir nelayan terlibat dengan aktiviti penyeludupan.
Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, katanya, aktiviti penyeludupan bagi segelintir nelayan tersebut semakin aktif bagi menambah pendapatan.
“Bukan semua nelayan, tapi ada dalam kalangan mereka yang terlibat dengan aktiviti ini sama ada bertindak sebagai tonto dengan memberi maklumat kepada sindiket atau mereka sendiri melakukan aktiviti itu.
“Selalunya aktiviti tersebut dilakukan pada awal pagi atau senja. Jarak yang dekat dengan sempadan menyebabkan aktiviti penyeludupan berlaku dengan pantas,” katanya.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, sindiket penyeludupan dadah dan ketum dipercayai menggunakan taktik pertukaran barang atau sistem barter di tengah laut bagi membawa masuk dan keluar barang terlarang tersebut ke negara ini
Pertukaran barang yang dipercayai turut melibatkan nelayan tempatan itu dikatakan menggunakan bot fiber tidak bernombor dan dikesan dilakukan ketika air laut surut dengan penyeludup dari negara ini dikatakan membekalkan ketum ke negara jiran manakala ganja dibekalkan ke negara ini.
Sementara itu, Mohd. Shafie memberitahu, taktik pertukaran barang itu disebabkan Thailand mempunyai bekalan ganja manakala ketum pula banyak di negeri ini.
“Ganja yang dibekalkan ke negara ini dipercayai untuk pasaran seluruh negara manakala ketum pula mendapat pasaran tinggi di negara jiran,” katanya. – UTUSAN ONLINE










