Scammer akan disebat

Scammer akan disebat

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hukuman sebat terhadap pesalah jenayah penipuan dalam talian atau scammer  adalah antara kajian sedang dilaksanakan oleh kerajaan bagi memperketatkan undang-undang jenayah siber.

Hasil kajian itu akan dijadikan asas cadangan untuk mengemaskini pindaan undang-undang sedia ada termasuk memperkenalkan pemberian pampasan kepada mangsa jenayah siber. 

Perkara itu mengambil kira contoh negara jiran, Singapura yang memperkenalkan hukuman enam sebatan terhadap pesalah penipuan dalam talian sebagai langkah tegas membendung kegiatan scam yang semakin berleluasa di republik itu. 

Ketika ini, kesalahan berkaitan penipuan di Malaysia hanya boleh didakwa mengikut beberapa peruntukan Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda serta bergantung kepada jenis kesalahan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kajian sedang dilaksanakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) selepas meneliti amalan beberapa negara termasuk United Kingdom (UK) dan Australia yang mempunyai pendekatan berbeza dalam menangani jenayah siber.

“Kita nak buat kajian lebih mendalam tentang isu mangsa dalam jenayah siber, bukan sahaja dalam elemen jenayah siber, tetapi juga kemudaratan dalam talian dan jenayah digital.

“Di Singapura misalnya, terdapat hukuman sebat terhadap pesalah, manakala di negara kita hukuman lebih tertumpu kepada denda dan penjara,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sesi pembukaan Program Bulan Keselamatan Negara (BKN) 2026 di sini semalam.

Menurut Azalina, antara aspek yang diberi perhatian adalah mekanisme pemulangan wang kepada mangsa penipuan dalam talian sebagaimana dilaksanakan di UK dan Australia.

Katanya, mangsa di negara berkenaan yang menjadi sasaran penipuan dalam talian berpeluang mendapatkan semula wang yang hilang termasuk melalui penglibatan institusi kewangan tertentu.

“Kalau kita simpan duit di Australia dan UK, apabila menjadi mangsa, kita boleh dapat semula wang itu. Di Malaysia, perkara itu belum ada dan sebab itu kita perlu mengkajinya.

“Mungkin ada kaitan dengan sistem insurans atau mekanisme lain yang digunakan di negara terbabit. Kita mahu melihat apakah bentuk perlindungan terbaik yang boleh diberikan kepada mangsa,” katanya.

Katanya, ketika ini kebanyakan undang-undang berkaitan jenayah memberi fokus kepada tindakan terhadap pelaku termasuk menerusi Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah.

“Undang-undang kita banyak menghukum pelaku. Tetapi mangsa selalunya hanya membuat laporan dan dalam banyak keadaan wang yang hilang tidak dapat diperoleh semula,” katanya.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, isu perlindungan terhadap mangsa turut dibangkitkan oleh beberapa Ahli Parlimen ketika perbahasan Rang Undang-Undang Jenayah Siber baru-baru ini.

Katanya, terdapat pandangan bahawa kerajaan dan institusi tertentu menerima perlindungan undang-undang yang mencukupi, namun aspek kebajikan serta hak mangsa masih memerlukan perhatian yang lebih serius.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kajian berkenaan masih di peringkat awal dan kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan mekanisme pampasan atau pemulangan wang kepada mangsa jenayah siber.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN