Kelantan dikenakan PKPB, 4 negeri lain tamat hari ini - Utusan Malaysia

Kelantan dikenakan PKPB, 4 negeri lain tamat hari ini

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelaksanaan Pe­rintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikenakan di Kelantan bermula esok hingga 6 Disember berikutan terdapat peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di beberapa daerah dan mukim di negeri ini.

Walau bagaimanapun, perintah berkenaan di empat negeri lain iaitu Kedah, Melaka, Johor dan Terengganu ditamatkan lebih awal mulai hari ini selepas dua minggu dilaksanakan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun, penamatan perintah itu dikecualikan di daerah Kulim, Kedah dan di daerah Kota Tinggi serta Mersing, Johor.

Menurut beliau, sehingga semalam, hanya terdapat 85 kes aktif Covid-19 di Kedah kecuali Kulim (23 kes), Melaka (48 kes aktif), Kota Tinggi dan Mersing masing-masing masih merekodkan 36 dan lapan kes aktif selain hanya terdapat 19 kes aktif di seluruh Terengganu serta tiada kes sporadik dilaporkan dalam 14 hari ke­belakangan ini.

“Walaupun PKPB di negeri-negeri ini ditamatkan, ia masih tertakluk di bawah prosedur operasi standard (SOP) PKP Pemulihan (PKPP) yang masih berkuat kuasa di seluruh negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) di K-Avenue, Megacity, Penampang, Sabah berikutan peningkatan kes di lokaliti itu dengan merekodkan sebanyak 110 kes positif.

Kata beliau, perintah Temco itu merangkumi pejabat, kuarters pekerja dan tapak pembinaan melibatkan sebanyak 400 penduduk.

Sementara itu, beliau turut memberitahu, perintah Temco Di Anjung Teduh, Felda Sahabat, Lahad Datu ditamatkan selepas 3,743 saringan dilaksanakan dan sebanyak 89 kes positif direkodkan di lokaliti itu.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 318 individu atas kesalahan ing­kar arahan SOP dengan seramai 307 daripadanya dikompaun manakala 11 direman.

Katanya, antara kesalahan itu ialah gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (113), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (64), tidak memakai pelitup muka (63, rentas daerah atau negeri PKPB tanpa kebenaran (34) dan lain-lain kesalahan (44).

Mengenai berita palsu berkaitan Covid-19, ujar beliau, sebanyak 274 kertas siasatan dibuka oleh PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 137 kes masih dalam siasatan, 35 kes didakwa di mahkamah, 12 kes diberi notis amaran manakala 90 kes lagi diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut.

“Bagi kes yang didakwa di mahkamah, sehingga kini 21 didapati bersalah manakala 13 lagi dalam proses perbica­raan. Pasukan Respon Pantas (PRP) juga mengeluarkan sebanyak 404 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu berkaitan Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN