KUALA TERENGGANU: Mangsa pembunuhan kejam, Siti Nor Surya Ismail pernah berjanji untuk menyambung pelajaran ke Akademi Binaan Malaysia (ABM) dalam bidang seni bina bersama tiga sahabat karibnya, namun hasrat itu dilupakan demi menjaga ibunya yang sakit.
Menurut rakan mangsa, Nurul Hasmida Che Shapie, 19, keputusan itu dibuat selepas memikirkan ibunya, Zaini Musa yang menderita kanser otak.
Katanya, dia dan dua rakan lain Siti Rohani Ismail, 19, dan Siti Umairah Hazreen Mohd. Rizam, 19, akur dengan pendirian Siti Nor Surya.
Nurul Hasmida berkata, mereka berempat bersahabat sejak di Sekolah Kebangsaan Kuala Telemong hingga ke menengah sepatutnya mendaftar pengajian pada 1 Januari lalu.
“Katanya kalau dia (Siti Nur Surya) pergi belajar, siapa yang hendak menjaga emak.
“Dia seronok tengok kami belajar dan selalu bertanya bagaimana kelas, malah Surya berjanji apabila emaknya sihat dia akan menyambung pengajiannya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediaman Siti Nor Surya di sini, semalam.
Siti Umairah Hazreen berkata, sepanjang persahabatan mereka, Allahyarham sahabat yang baik, tidak lokek dalam soal kewangan dan gemar memasak terutamanya kuetiau goreng.
“Sebutlah apa jua makanan yang kami teringin makan, dia berusaha masak. Kali terakhir kami berjumpa Sabtu lalu apabila dia mengajak datang ke rumah untuk makan kerabu mangga. Perbualan terakhir kami di kumpulan WhatsApp ‘Second Family’ pada Ahad malam,” katanya menahan sebak. – UTUSAN ONLINE










