KUALA LUMPUR : Bapa dan datuk tiri durjana.
Seorang lelaki warganegara Nigeria mencampak keluar cucu tirinya dari tingkat empat sebuah pangsapuri di Danau Kota, di sini selepas gagal merogol ibu kanak-kanak malang itu yang juga adalah anak tiri suspek di sini, semalam.
Lebih kejam, kanak-kanak malang terbabit, Muhammad Adam Sufi Muhd Norkhusairi dipercayai dilemaskan dalam baldi oleh suspek sehingga longlai sebelum mangsa dicampak.
Difahamkan, suspek berusia 42 tahun tersebut telah berkahwin selama 10 tahun dengan seorang wanita tempatan berusia 49 tahun dan tinggal bersama empat orang anak tiri serta seorang anak sendiri hasil perkahwinan dengan isterinya itu.
Salah seorang anak tirinya dipercayai telah berkahwin dan mempunyai seorang anak iaitu mangsa dan turut tinggal bersama mereka di pangsapuri tersebut.
Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd. Hamid berkata, kejadian itu berlaku apabila suspek yang berusia 42 tahun itu cuba merogol ibu kanak-kanak tersebut yang sedang tidur di ruang tamu.
Kata Nik Ros Azhan, perbuatan suspek itu bagaimanapun dihalang oleh isteri dan dua lagi anak tirinya yang berusia 19 hingga 29 tahun dan kanak-kanak tersebut yang turut berada di rumah.
Ujarnya, suspek yang berang mengamuk dan memukul kesemua mangsa yang berada dalam rumah berkenaan, malah bertindak melemaskan kanak-kanak tersebut dalam baldi.
“Disebabkan kejadian itu, isteri dan anak-anak suspek kemudiannya cuba menyelamatkan diri dan keluar dari rumah untuk dapatkan bantuan jiran dan pengawal keselamatan.
“Namun suspek yang melihat kesemua mangsa menjerit dan meminta tolong kemudian mengangkat cucu tirinya yang telah lemah ke tingkap luar di bilik utama dan mencampaknya keluar,” katanya di sini semalam.
Nik Ros Azhan memberitahu, suspek juga turut melompat keluar melalui tingkap yang sama.
“Bagaimanapun, suspek yang cedera tidak dapat melarikan diri dan ditangkap oleh pengawal keselamatan dan orang awam sebelum diserahkan kepada polis.
“Suspek dan mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan sebelum ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










