Darurat di Batu Sapi - Utusan Malaysia

Darurat di Batu Sapi

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Muhyiddin Yassin berhubung pengisytiharan Proklamasi Darurat bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi di Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam. – GAMBAR FB ISTANA NEGARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menitahkan pengisytiharan Proklamasi Darurat untuk membatal dan menangguhkan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, Sabah.

Ini adalah kali pertama sejak 51 tahun dalam sejarah negara selepas pengisytiharan darurat susulan pilihan raya 10 Mei 1969.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, perkenan Seri Paduka setelah mengambil iktibar dan pengalaman daripada pilihan raya negeri (PRN) Sabah, September lalu, yang menjadi faktor utama gelombang ketiga penularan Covid-19 di negara ini.

Katanya, dengan pengisytiharan itu, apa-apa prosiding yang telah bermula bagi maksud perjalanan PRK Batu Sapi tidak akan diteruskan dengan tujuan mengekang dan menghalang daripada berlakunya gelombang keempat penularan Covid-19 dan satu tarikh yang lain akan ditetapkan untuk PRK tersebut.

“Maka dengan itu, Seri Paduka telah memberi perkenan supaya pengisytiharan Proklamasi Darurat bagi P.185 Batu Sapi Sabah dilaksanakan sebagai langkah proaktif membendung gejala Covid-19.

“Sesungguhnya Al-Sultan Abdullah amat prihatin terhadap keselamatan rakyat jelata ekoran daripada kenaikan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian Covid-19 di negara ini sejak PRN Sabah ke-16, 26 September lalu.

“Sehubungan itu Seri Paduka berpendapat amatlah wajar PRK itu dibatal dan ditangguhkan demi keselamatan rakyat jelata dan kesejahteraan negara,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Titah Al-Sultan Abdullah itu susulan perkenan Seri Paduka menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Negara, semalam.

Dalam sesi yang berlangsung selama sejam bermula pukul 4 petang itu, Perdana Menteri telah mempersembahkan nasihat beliau, susulan daripada keputusan mesyuarat Kabinet ber­kenaan pelaksanaan pengisytiharan Proklamasi Darurat bagi PRK Parlimen Batu Sapi untuk perkenan Seri Paduka.

Setelah memperhalusi penjelasan Perdana Menteri dan sembah taklimat Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki bin Ali; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani bin Salleh, Al-Sultan Abdullah telah berpuas hati adanya keperluan pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi memboleh­kan suatu Ordinan dimashyurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 untuk membatalkan tarikh yang telah ditetapkan bagi menjalankan PRK Batu Sapi.

Kementerian Kesihatan merekodkan peningkatan mendadak sehingga 148.4 peratus iaitu sebanyak 3,842 kes kumulatif pada 10 Oktober lalu, selepas dua minggu dari hari mengundi.

Kes positif harian Covid-19 terus meningkat secara mendadak dua minggu berikutnya dengan peningkatan sehingga 193.7 peratus iaitu sebanyak 11,285 kes kumulatif yang telah dicatatkan pada 24 Oktober.

Ahmad Fadil menambah, perkenan Seri Paduka Baginda mengambil kira jumlah pemilih berdaftar yang tinggal di luar bahagian Batu Sapi yang dijangka merentas daerah dan negeri untuk pulang mengundi.

Katanya, berhubung dengan peningkatan mendadak kes Covid-19, Al-Sultan Abdullah mengambil kesempatan menasihati rakyat berdisiplin memainkan peranan dalam membantu kerajaan dan pihak-pihak berkuasa membendung wabak itu demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara.

Terdahulu, Muhyiddin da­lam perutusan khasnya berkata, darurat yang diisytiharkan bertujuan membatal dan menangguhkan PRK itu demi melindungi nyawa rakyat.

Jelas Perdana Menteri, kehidupan rakyat di kawasan itu tidak akan terjejas dengan perisytiharan darurat berkenaan.

Kata beliau, tidak ada perintah berkurung atau pemerintahan ala tentera di Batu Sapi, malah pentadbiran kerajaan, kegiatan ekonomi dan aktiviti sosial dapat diteruskan tertakluk kepada amalan norma baharu dan peraturan serta prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Saya bagi pihak kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberi jaminan apabila pandemik Covid-19 berakhir, PRK Batu Sapi akan diadakan segera tertakluk kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Apabila PRK diadakan kelak, para pengundi akan dapat me­lak­sanakan hak demokrasi masing-masing dalam keadaan yang lebih selamat, aman dan tenteram,” katanya.

Katanya, Kabinet berpandangan PRK Batu Sapi wajar dibatalkan dan ditangguhkan ke satu tarikh lain yang lebih sesuai.

Perdana Menteri menjelaskan, Kabinet telah mendapatkan pandangan Peguam Ne­gara dari segi perundangan serta Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan PRK itu dibatalkan dan ditangguhkan.

Kata beliau, Peguam Negara telah memberikan pandangan bahawa tidak ada cara lain untuk membatalkan PRK Batu Sapi melainkan dengan perisy­tiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Perdana Menteri menjelaskan, Kabinet yang berme­syuarat pada 13 November lalu membincangkan secara terperinci kesan PRK itu dilaksanakan ketika pandemik Covid-19 masih menular di Sabah dan sewajarnya dielakkan berdasarkan beberapa faktor setelah mengambil iktibar penularan wabak susulan PRN Sabah.

“Walaupun SOP ketat boleh ditetapkan oleh SPR, namun pematuhannya didapati amat lemah sehingga menyebabkan wabak ini sukar dibendung,” katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyarankan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Bugaya dan Parlimen Gerik dan Batu Sapi dibatalkan bertujuan mengelak penularan Covid-19 yang masih mencatat peningkatan kes di Semenanjung dan Sabah.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, langkah meneruskan PRK tidak wajar kerana ia akan memberi bebanan kepada rakyat dan mewujudkan kluster-kluster baharu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN