PUTRAJAYA: Kes positif Covid-19 naik semula hampir 300 kes berbanding kelmarin dengan mencatatkan 957 kes baharu selain pertambahan dua kluster baharu.
Bagaimanapun, jumlah kes pulih pula hampir menyamai kes positif baharu iaitu sebanyak 972 kes selain tiada kematian direkodkan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negara ini adalah sebanyak 32,505 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah 10,036 kes.
Katanya, Sabah masih mencatatkan kes tertinggi iaitu 644 kes manakala negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan 230 kes sekali gus keempat-empat negeri itu menyumbang hampir keseluruhan kes iaitu sebanyak 874 kes (91.3 peratus).
“Lebih banyak pengesanan kes di negeri-negeri tersebut susulan aktiviti di lapangan yang giat dijalankan termasuk pengesanan kontak rapat.
“Ini termasuk saringan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) di Plaza Hentian, Kajang yang mana melaporkan 91 kes baharu pada hari ini (semalam),” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Dr. Noor Hisham berkata, dua kluster baharu yang dicatatkan ialah Kluster Usaha melibatkan daerah Klang dan Petaling, Selangor (17 kes) dan Kluster Tembaga di daerah Timur Laut dan Barat Daya, Pulau Pinang (tujuh kes).
Katanya, 80 kes yang direkodkan berkaitan pusat tahanan sementara dan kluster-kluster penjara seperti di Pusat Tahanan Sementara Tawau (54 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (14), Kluster Penjara Kepayan (enam), Kluster Benteng LD (tiga) dan Kluster Rumah Merah (tiga).
Menurut Dr. Noor Hisham, perkembangan kes positif di negeri-negeri lain pula ialah Selangor (225 kes), Pulau Pinang (23), Labuan (18), Terengganu (15), Sarawak (11) dan Negeri Sembilan (lapan).
“Di Perak pula mencatatkan lima kes, Kuala Lumpur (empat kes) manakala masing-masing satu kes di Kedah, Melaka, Johor dan Putrajaya.
“Sehingga kini, terdapat 97 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), yang mana 27 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











