Cerita pelajar dan pekerja sambilan - Utusan Malaysia

Cerita pelajar dan pekerja sambilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA kerja kosong tak? Tanya seorang pemuda di kaunter sebuah kedai serbaneka beberapa hari lalu. Pekerja kaunter itu menjawab tiada. Katanya, ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Selangor sejak 14 Oktober lalu ada pekerja sambilan yang diberhentikan.
Sekarang semua kedai beroperasi sehingga pukul 10 malam termasuk kedai 24 jam. Mana perlukan lagi pekerja? jelas pekerja kaunter berkenaan sambil memasukkan barangan yang saya beli ke dalam bungkusan.
Nampak riak wajah hampa pemuda berketurunan India itu. Dia memandang keluar. Di luar ada seseorang menantinya di atas motor.
“Itu adik saya kak, dia pun mahu cari kerja walaupun bawah umur. Nak tolong keluarga,” katanya tanpa saya bertanya.
Menurutnya, dia pelajar universiti. Sebelum ini ada membuat kerja sambilan. Tetapi semasa PKPB dia diberhentikan kerana dia adalah pekerja sambilan bukannya tetap.
“Saya mahu bayar yuran belajar,” katanya seperti mahu menangis dan terus berlalu. Saya cukup sebak. Memandang pemuda itu, seperti melihat anak saya yang juga masih belajar di pusat pengajian tinggi. Sekarang semua belajar secara online.
Berapa ramai agaknya pekerja diberhentikan masa PKPB ini terutamanya yang bekerja sambilan. Industri perhotelan yang terjejas teruk contohnya, sudah pasti terpaksa mengurangkan pekerja dan sasarannya tentu pekerja sambilan. Begitu juga di pusat beli-belah.
Dan siapa pekerja sambilan ini? Mungkin ramai yang tidak tahu kebanyakan pekerja sambilan ini ialah anak-anak muda yang masih belajar. Mereka bekerja untuk menampung kos belajar tak kiralah universiti atau kolej swasta. Belajar online juga memerlukan kos yang tinggi. Bukan semua ada kemudahan internet di rumah. Pada masa sama, ada juga sebenarnya tidak mempunyai komputer. Kalau di pusat pengajian tinggi, ada makmal komputer untuk mereka membuat tugasan dan ramai juga yang meminjam komputer riba kawan-kawan dengan memberi upah mengikut masa yang digunakan.
Bayangkan kalau komputer rosak atau memang tiada komputer mereka perlu membelinya. Harganya bukan ratusan ringgit. Kesukaran sebeginilah yang patut dilihat. Kalau dalam keluarga itu ada dua atau tiga orang pelajar, berkongsi komputer sesuatu yang mustahil!
Dalam pada itu, pekerja sambilan juga anak-anak muda yang baru bermula untuk bekerja. Ada yang mempunyai diploma atau ijazah tetapi tidak dapat mencari pekerjaan setanding dengan kelulusan mereka.
Ada yang bekerja sementara menunggu untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Pusat kemahiran kini membekukan pengambilan pelajar untuk ke peringkat seterusnya kerana pandemik Covid-19 ini. Jadi sementara itu, mereka terpaksa bekerja.
Tumpuan anak-anak muda ini sudah pastilah bekerja di kedai-kedai, pusat beli-belah dan restoran makanan segera. Dan jangan tak tahu, untuk bekerja di tempat-tempat seperti ini pun ada yang kena guna `orang dalam’. Maksudnya, mereka ambil kawan-kawan atau saudara mara pekerja yang ada di situ. Kalau tak kenal sesiapa di situ, tiada peluang kerja di situ. Awal-awal lagi kata tiada kekosongan. Ya, istilah guna `kabel’ macam sudah jadi darah daging pula dalam mencari pekerjaan. Dari peringkat kerja atasan sehinggalah sebagai pembantu kedai!
Memang ketika pandemik Covid-19 yang belum ada tanda-tanda reda, ramai yang bergelut untuk hidup. Tiada lagi istilah `memilih kerja’. Siapa pilih kerja, tak makanlah.
Maka apabila ada seorang politikus beberapa bulan lalu memberi kenyataan bahawa pengangguran akan dapat dikurangkan pada suku pertama tahun depan, bolehkah ini kita percaya?
Beberapa bulan lalu bila kita dah berada pada angka satu digit kes Covid-19, ramai kembali leka, yakin dan sukakan keramaian. Beginilah agaknya rasanya bila ‘kemenangan’ itu tidak diiktiraf.
Hakikatnya, semua dah bosan dengan cerita Covid-19 dan SOP. Ya, sangat bosan. Tak sabar menanti ini semua berakhir. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN