Bukan Belanjawan Pilihan Raya - PM - Utusan Malaysia

Bukan Belanjawan Pilihan Raya – PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Belanjawan 2021 merupakan kesinambungan inisiatif keprihatinan kerajaan demi membantu rakyat dalam menempuh waktu sukar ketika pandemik Covid-19.

Justeru, dalam hal itu, kata Perdana Menteri, adalah tidak wajar jika ada tanggapan bahawa ia merupakan satu ‘Belanjawan Pilihan Raya’ .

Kata Perdana Menteri, tumpuan kerajaan ketika ini ialah menangani masalah Covid-19 dan menguruskan masalah ekonomi, dan jika dua perkara itu dapat diselesaikan, maka satu mandat baharu diperlukan daripada rakyat melalui pilihan raya.

“Belanjawan 2021 ini saya tak sebut sebagai belanjawan pilihan raya, walaupun ada pilihan raya atau tidak, yang penting membantu rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan akan turun bertemu rakyat untuk memohon pertimbangan untuk diberikan mandat semula jika mereka berpendapat kerajaan Perikatan Nasional (PN) banyak memberikan sokongan dan bantuan kepada rakyat.

Kata beliau, perkara itu perlu dilaksanakan melalui pilihan raya supaya kerajaan yang dipilih menjadi lebih stabil berbanding apa yang dilihat ketika ini.  

“Jika rakyat merasakan kerajaan sekarang ini prihatin akan masalah mereka serta menghargai susah payah kita, mungkin waktu terbaik sewajarnya pilihan raya umum dapat kita adakan

“Maka selepas itu kerajaan yang dipilih akan menjadi lebih stabil daripada yang kita lihat pada hari ini. Tetapi saya tidak tahu bila Covid-19 ini  selesai, ekonomi akan rancak semula, jadi kita berserah kepada Allah agar negara kita kembali dalam landasan betul dalam satu tempoh tidak terlalu lama,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan mempertimbangkan membenarkan pengeluaran wang dalam akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh golongan yang benar-benar menghadapi kesusahan.

Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, kerajaan seboleh-bolehnya tidak mahu mereka ‘menyentuh’ wang dalam akaun tersebut terlebih dahulu, sebaliknya melihat dahulu bantuan yang akan diperuntukkan dalam pembentangan Belanjawan 2021 esok, jika ia sudah memadai.

Ini kerana, jelas Perdana Menteri,  peruntukan wang dalam akaun tersebut merupakan simpanan di hari tua dan lebih 30 peratus daripada ahli KWSP hanya mempunyai simpanan kurang dari RM5,000. 

“Kerajaan pada dasarnya bersetuju dan bersedia untuk mengkaji cadangan bagaimana untuk membantu rakyat yang menghadapi kesusahan dan benar-benar memerlukan sama ada kita membenarkan mereka ini mengeluarkan peruntukan akaun 1 KWSP walaupun ia untuk simpanan hari tua.

“Jadi kita minta mereka tunggu dulu pembentangan Belanjawan 2021 nanti, mungkin ada bantuan yang akan disampaikan kerajaan. Kalau itu dianggap memadai maka tidak perlu keluarkan akaun 1,” katanya. 

Menurut Perdana Menteri, kerajaan sebelum ini telah memberi kelonggaran berhubung simpanan KWSP yang membenarkan caruman pekerja dikurangkan dari 11 peratus kepada 7 peratus yang mana 70 peratus daripada ahli KWSP memilih untuk mengurangkan jumlah caruman itu. 

Selain itu, katanya, pengeluaran i-lestari dalam akaun 2 sebanyak RM6,000 seorang telah dibenarkan sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan boleh guna berjumlah RM700 juta sebulan untuk membolehkan rakyat berbelanja.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN