HULU TERENGGANU: Gadis yang ditemui mati dengan pergelangan tangan kiri putus serta kecederaan di muka dan leher di Kampung Lubuk Batu, Kuala Telemong di Hulu Terengganu, kelmarin disyaki dibunuh rakan wanita sendiri yang dipercayai bermotifkan cemburu.
Suspek pelajar tingkatan enam dan bekas rakan sekolah mangsa iaitu Siti Nor Surya Ismail, 19. Suspek tinggal sebelah kampung mangsa dan gadis itu ditahan ketika tampil memberi keterangan di Balai Polis Telemong pukul 8.15 pagi semalam.
Mengikut maklumat, Siti Nor Surya lahir dalam keluarga berada iaitu bapanya tauke lori pasir dan kehidupan mangsa dikatakan ‘mewah’.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superitenden Mohd. Adli Mat Daud menerusi sidang akhbar berkata, suspek hadir ke balai polis sekitar pukul 7.30 pagi dengan ditemani ibunya bagi memberi keterangan.
Menurut beliau, hasil keterangannya mencurigakan dan terdapat beberapa kesan kecederaan pada tangannya.
“Pembunuhan itu dipercayai berpunca daripada kata-mengata semasa suspek dikatakan datang ke rumah mangsa.
“Sewaktu bersembang di ruang tamu berlaku kata-mengata lalu membawa kepada pergaduhan mulut dan terus berpanjangan hingga terjadinya pergelutan.
“Suspek kemudian mengambil pisau yang berada di situ untuk mencederakan mangsa,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu di sini, semalam.
Menurut Mohd. Adli, suspek dikatakan mengambil pisau dapur yang ada di ruang tamu sebelum mengelar beberapa kali pada pergelangan tangan kiri mangsa sehingga putus.
Katanya, setelah mangsa tidak sedarkan diri suspek kemudian mengambil peluang mencuri beberapa barangan termasuk telefon bimbit mangsa, barangan kecantikan diri di samping wang tunai sebelum keluar dari rumah.
Katanya, polis masih mengesan senjata digunakan suspek yang dipercayai dibuang tidak jauh dari lokasi kejadian dan setakat ini, pihaknya percaya kejadian dilakukan seorang suspek.
“Pemeriksaan ke rumah suspek turut menemukan barangan yang hilang daripada rumah mangsa.
“Suspek akan direman di Mahkamah Majistret Marang esok (hari ini) dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, jenazah anak kelima daripada tujuh adik-beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Beladau Selat malam tadi.
Terdahulu, jenazah Allahyarham yang dari Hospital Sultanah Nur Zahirah) tiba di rumah keluarganya sebelum dibawa ke masjid kampung itu untuk disembahyangkan. – UTUSAN ONLINE










