Belanjawan 2021 penuhi keperluan rakyat - Muhyiddin - Utusan Malaysia

Belanjawan 2021 penuhi keperluan rakyat – Muhyiddin

MUHYIDDIN Yassin diiringi Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (kanan) sebelum pembentangan Belanjawan 2021 di Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. – FOTO IHSAN JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion adalah penzahiran konsep prihatin rakyat yang didukung teguh oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) walaupun negara berada dalam situasi sukar dan mencabar.

Ini membuktikan tekad ke­­rajaan dalam memastikan wabak Covid-19 ditangani de­ngan berkesan, bagi menjamin matlamat kesejahteraan rak­yat, kelangsungan perniagaan serta ketahanan ekonomi.

“Belanjawan ini juga men­cerminkan hasrat dan keperluan rakyat dan perniagaan, hasil maklum balas daripada 6,000 respons yang diterima melalui pelbagai platform dan sesi libat urus.

“Kerajaan telah menggubal sebuah belanjawan yang berprinsip, melindungi rakyat dan perniagaan dan membantu mereka untuk melonjak kembali,” kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, kerajaan sedar apa yang paling membimbangkan rakyat adalah kesihatan mereka dan punca rezeki bagi menyokong kelangsungan hidup masing-masing.

Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal memastikan rakyat sentia­sa dilindungi dan ia jelas dilihat melalui peruntukan tertinggi untuk rakyat dalam Belanjawan 2021 berbanding belanjawan negara yang pernah dibentangkan sebelum ini.

Menurut Perdana Menteri, pelbagai langkah yang digubal bukan sahaja bagi keselamatan dan kelangsungan hidup untuk hari ini, tetapi juga bagi membantu rakyat membina sebuah masa depan.

Perdana Menteri berkata, melalui Belanjawan 2021, pelbagai jenis bantuan, subsidi dan insentif yang bernilai keseluruhannya RM28 bilion telah disediakan terutamanya bagi menangani beban kos sara hidup dan memelihara kebajikan golongan rentan.

Kerajaan juga katanya, komi­ted bagi memberi peluang dan mengekalkan pekerjaan, memastikan keterangkuman dan menjamin kesejahteraan hidup rakyat.

Beliau menjelaskan, kerajaan bertekad untuk mencapai sasaran 500,000 peluang pekerjaan baharu melalui pelbagai program.

“Kerajaan juga telah me­ngumumkan pembentukan Majlis Pekerjaan Negara yang akan dipengerusikan oleh saya sendiri dan akan menyelaraskan semua inisiatif kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat,” katanya.

Katanya, Belanjawan 2021 juga mengambil pendekatan bersasar untuk memastikan mereka yang benar-benar memerlukan akan terus mendapat sokongan dan bantuan daripada kerajaan merentas kaum dan ideologi, tidak kira di pelosok negeri mana mereka berada.

Pendekatan bersasar kata Perdana Menteri, diambil kira dalam mengizinkan pengeluaran simpanan Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mereka yang telah hilang pekerjaan dan benar-benar terjejas.

Selain itu katanya,kerajaan akan memastikan sektor perniagaan dan ekonomi terus didorong melalui sokongan pembiayaan dan menambah baik ekosistem.

“Belanjawan 2021 adalah sebahagian daripada janji kerajaan untuk mencapai kese­jahteraan dan kemakmuran yang sebenar bagi seluruh rakyat. Kerajaan menyeru agar rakyat Malaysia berganding bahu dan menjunjung semangat solidariti dalam usaha kita memerangi wabak Covid-19 dan cabaran ekonomi semasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN