PANDEMIK Covid-19 ternyata memusnahkan ekonomi. Golongan daif semakin melarat manakala kelas sederhana pula merana akibat diberhentikan kerja, perniagaan merudum dan sebagainya.
Dalam situasi menakutkan inilah, peranan institusi zakat dilihat sangat penting bagi menstabilkan semula sosioekonomi umat Islam tanah air.
Persoalannya, adakah institusi yang mengutip lebih setengah bilion ringgit pada tahun 2020 ini, memainkan peranan sepatutnya? Mengapa ada mendakwa, wujud banyak kerenah birokrasi, sehingga mendorong orang persendirian pula tampil menyalur sumbangan?
Mendepani persoalan ini, wartawan Mingguan Malaysia Fahmi Faiz dan Ku Syafiq Ku Fozi, bersama jurugambar Amir Khalid mendapatkan pandangan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat
Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Ahmad Shukri Yusoff serta CEO MAIWP, Datuk Akbar Samon. Ikuti wawancara eksklusif ini, yang membicarakan fungsi institusi itu membantu meredakan ‘bahang’ ekonomi akibat wabak itu.
KAEDAH OPERASI KUTIPAN DAN AGIHAN
MINGGUAN MALAYSIA: Mengenai kaedah kutipan dan agihan zakat di Wilayah Persekutuan, kenapa tidak disatukan sahaja operasi? Kenapa kutipan dibuat PPZ tapi agihan pula oleh Baitulmal di bawah MAIWP?
AHMAD SHUKRI: Dari sudut pentadbiran MAIWP, masih mereka nampak cara yang dibuat sekarang ini adalah model terbaik. Ini supaya PPZ ini memberi betul-betul fokus 100 peratus kepada kutipan. Siang malam fikir hanya bagaimana untuk kutip sahaja. Tapi bab agih ini terus kepada Baitulmal. Kalau kita tengok, model sebegini juga ada dibuat di beberapa negeri lain. Tapi Wilayah Persekutuan adalah yang pertama guna model pengasingan antara kutipan dan agihan ini.
KUTIPAN DI MUSIM PANDEMIK
Berapa jumlah kutipan zakat di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sehingga hari ini (25 November 2020)?
Sehingga ke hari ini, kita berjaya kutip RM565 juta. Kita punya penyumbang zakat, setakat hari ini seramai 358,000 pembayar. Ini termasuk syarikat dan individu.
Ada peningkatan kutipan berbanding tahun lepas?
Setakat ini alhamdulillah, kita punya peningkatan kalau nak banding tahun lepas, 2019 dengan tarikh hari ini, kita ada kenaikan sembilan peratus, walaupun di musim pandemik.
Apa faktor peningkatan itu, meskipun dunia dilanda pandemik?
Walaupun pandemik memang ada kesan, dari sudut perniagaan merudum, orang hilang mata pencarian dan sebagainya, tapi dalam suasana wabak ini bila kita buat kempen, ada respons yang sangat baik daripada syarikat yang masih mampu bayar zakat dan juga individu.
Apa maksudnya?
Maksudnya individu yang belum pernah tampil, mereka mula tampil bayar zakat. Yang pernah bayar zakat pula, dia tambahkan bayarannya. Jadi itu berlaku peningkatan dari sudut bayaran. Jadi saya nak sebut sini, maknanya bagus serta cantiknya nilai-nilai murni masyarakat Islam di negara kita, mereka prihatin dengan pandemik yang berlaku ini.
PANDEMIK DAN KESAN KE ATAS INSTITUSI ZAKAT
Adakah peningkatan tahun ini, seiring dengan peningkatan jumlah pembayar? Atau pembayar sedia ada membayar jumlah yang lebih?
Kalau tengok daripada peningkatan, sangat jauh jumlah kalau pembayar pada 2019 ialah 187,531 orang. Sedangkan tahun 2020 ini, sampai hari ini 358,000 pembayar. 91.17 peratus meningkat.
Apa lagi faktor peningkatan ini?
Sebabnya masa bulan Ramadan, berlaku peningkatan luar biasa orang bayar zakat fitrah secara online. Ketika pandemik, orang tak boleh keluar, orang tak berani nak ke kaunter fitrah, masjid pun waktu itu banyak tutup lagi. Maka yang biasanya kita kutip melalui online ini sekadar RM200,000, tapi waktu itu sampai RM5 juta lebih. Alhamdulillah waktu itu ramai masyarakat ambil peluang bayar secara online. Mereka tiada rekod bayaran dari sudut zakat harta pendapatan sebelum itu, dan zakat fitrah dulu bayar kupon. Tapi kali ini bila bayar di online PPZ, sistem kita rekod. Itu faktor meningkat.
INSTITUSI BEBAS UNSUR RASUAH
Apa kaedah kutipan sekarang?
Pertama sudah tentulah di kaunter. Selain itu, melalui bayaran online, melalui ejen kita di bank-bank yang disebut ejen perbankan zakat, ini bermaksud boleh bayar di kaunter bank dan online perbankan. Begitu juga melalui ejen-ejen zakat kita termasuk firma-firma audit dan sebagainya yang jadi ejen kita. Ada juga ejen pintu ke pintu.
Dengan begitu banyak kaedah, sejauh mana ia telus dan bebas unsur rasuah dan unsur lain mencurigakan?
Boleh saya katakan dari sudut kutipan, kita bebas daripada rasuah sebab semua kutipan ini akan terus dimasukkan ke dalam akaun PPZ dan terus dihantar kepada pihak MAIWP. Kita tak pegang duit itu, masuk sahaja terus kita salurkan. Mereka yang akan buat agihan. Ini urusan pihak Baitulmal, mereka punya part. Tapi bab ketelusan kita, satu sen pun kalau orang bayar itu, kalau kurang kita akan gantikan.
Maksudnya sehingga 25 November ini, kalau RM565 juta masuk dekat PPZ, RM565 juta jugalah yang akan disalurkan kepada baitulmal untuk urusan agihan?
Ya betul. Bercakap soal audit, MAIWP (Baitulmal) ada audit mereka, kita pun di pusat pungutan ini ada audit kita.
40 PERATUS BELUM BAYAR KEPADA ENTITI ZAKAT
Ada statistik berapa ramai Muslim di Malaysia layak, mengeluarkan zakat?
Ini berlaku perbincangan sebab dari sudut statistik itu agak sukar. Pertama, kita punya pentadbiran zakat ini berdasarkan negeri. Kalau kita kata pembayar tak bayar di Wilayah Persekutuan, dia mungkin bayar di zakat negeri lain, di Terengganu atau Kelantan misalnya. Jadi hendak dapatkan data dari sudut itu agak sukar. Atau dia tak bayar di mana-mana pusat zakat, tapi bayar sendiri. Bagi terus kepada fakir miskin.
PPZ ada anggaran berapa peratus tak bayar zakat kepada entiti zakat?
Boleh kita katakan, kadar ataupun jumlah orang yang masih belum membayar kepada pihak berwajib ini mungkin kalau saya boleh letak, dalam 40 peratus lagi belum membayar di entiti zakat. Ini di seluruh Malaysia. Tapi kita tak boleh sebut secara tuntas, sebab data itu kita tiada.
PIHAK LAIN LEBIH cepat?
Sekarang lebih-lebih lagi di musim pandemik, ada segelintir individu dan NGO dilihat lebih laju beri sumbangan amal. Komen?
Pusat-pusat zakat setiap negeri telah melaksanakan tanggungjawab secara agresif. Tapi mungkin dari sudut promosi, cara menghebahkan kerja-kerja, itu mungkin ada kekurangan di situ yang harus diperbaiki.
Kita menghormati individu seperti ikon-ikon tertentu, yang turun padang. Mereka buat mengikut kemampuan yang ada kepada mereka. Tapi kena ingat satu perkara.
Apa perkara itu?
Biasanya yang mereka buat itu ialah bantuan sekali sahaja atau one-off. Sekali sahaja mereka tolong. Tapi di pihak Baitulmal, kepada mana-mana Majlis Agama Islam, mereka kalau bantu sesetengah keluarga ini, bantu sampai bila-bila. Sampai keluar daripada kepompong kemiskinan.
Umpamanya komitmen di Wilayah Persekutuan ini sendiri, ada 35,000 keluarga yang konsisten menerima bantuan baitulmal contohnya. Ini yang harus dibantu MAIWP melalui baitulmal.
Jadi yang ini, mustahil ada satu NGO atau satu individu yang boleh pantau sampai bila-bila, tak mungkin.
DATUK AKBAR SAMON
WUJUD KERENAH BIROKRASI?
MINGGUAN MALAYSIA: Betulkah ada terlalu banyak birokrasi dalam institusi zakat?
DATUK AKBAR: Sebagai agensi mengurus zakat, kita mementingkan integriti dan kebertanggungjawaban. Kita sentiasa dipantau dan diaudit. Ini mungkin berbeza dengan NGO atau individu. Namun dalam hal ini, MAIWP sentiasa berusaha memudahkan urusan agihan zakat. Contohnya, dahulu borang setebal lapan halaman, kini sekeping sahaja dengan dua halaman. Dalam suasana Covid ini pula, kita buka permohonan secara dalam talian bagi memudahkan lagi pihak yang memerlukan.
Sejauh mana keberkesanan saluran zakat?
Kita ada 30 skim bantuan meliputi keperluan bulanan, pendidikan, tempat tinggal, perubatan, keusahawanan dan banyak lagi. Ada keluarga yang menerima lebih daripada lima bantuan daripada MAIWP.
Bantuan Kewangan Bulanan sebagai contoh membantu 22,141 ketua keluarga di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 3,086 keluarga di Labuan dan 166 keluarga di Putrajaya. Bagi bantuan ini sahaja, MAIWP membelanjakan hampir RM78 juta zakat bermula Januari 2020 sehingga kini.
MAIWP tidak seagresif individu atau NGO dalam membantu?
Itu tidak tepat. Di Wilayah Persekutuan ini, kita menubuhkan Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP. Skuad ini turun padang mencari mereka yang dalam kesusahan. Namun kita turut mengharapkan kerjasama orang ramai membantu menyalurkan maklumat.
Ada yang terlepas pandang?
Ya, kerana kita mungkin terlepas pandang. Untuk itu kita telah bangunkan aplikasi Mobile Jejak Asnaf (MoJA) untuk memudahkan orang ramai membuat laporan.
Setelah laporan diterima, kita akan segera turun padang bagi kes kecemasan manakala bagi kes lain, kita tetapkan skuad perlu turun padang dalam tempoh 48 jam bagi membantu mereka yang dilaporkan.
PERANG PERSEPSI
Dakwaan ke atas institusi zakat, terbentuk akibat persepsi?
Kita sedar penyebaran maklumat yang berkesan adalah cara terbaik untuk menangkis persepsi buruk. Ada pihak mungkin membantu dengan jumlah ribuan ringgit, tetapi mereka mempunyai follower yang ramai, berita itu tersebar luas. Ada pihak menyalurkan jutaan ringgit tetapi ia tidak disambut oleh masyarakat atau netizen. Maka berita itu tidak tersebar. Oleh itu, kita cuba memanfaatkan media yang ada terutamanya media sosial untuk menyalurkan maklumat. Oleh itu besar harapan kami agar netizen dapat sama-sama bantu like dan follow page media sosial MAIWP dan agensi mengurus zakat lain seterusnya dan dapat share, retweet agar ramai dapat maklumat tepat.
KETELUSAN SALURAN ZAKAT
Sejauh mana jaminan, agihan zakat dibuat secara telus?
MAIWP sebuah badan berkanun Persekutuan yang sentiasa dipantau dan diaudit. Kita perlu mematuhi tatacara dan prosedur yang ditetapkan sebagai contoh oleh Kementerian Kewangan. Kita juga sentiasa diaudit oleh Jabatan Audit Negara bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan. Selain itu, MAIWP juga perlu mendapatkan persetujuan dan kelulusan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan bagi peruntukan dan perbelanjaan zakat.
Jadi, MAIWP bebas rasuah?
Alhamdulillah, selama 14 tahun berturut-turut sejak 2006, MAIWP menerima Sijil Audit Bersih daripada Jabatan Audit Negara. Untuk pastikan agihan zakat ini benar-benar sampai kepada yang layak, kita guna pengiraan Had al-Kifayah.
Bagaimana caranya?
Ia ambil kira keperluan asasi sesebuah keluarga dan dibandingkan dengan pendapatan isu rumah. Pengiraan ini menjadi antara asas penting dalam menentukan kelayakan penerima zakat dan ini juga antara cara memastikan tiada berlaku favouritisme.
Ada campur tangan politik dalam MAIWP?
MAIWP sentiasa profesional dalam hal ini. Sebagai sebuah agensi Islam utama di Wilayah Persekutuan yang bernaung di bawah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, MAIWP bebas daripada campur tangan atau tekanan politik. Agihan zakat ditentukan dengan jelas di dalam hukum syara’ dan MAIWP sentiasa memastikan agar agihan ini tidak lari daripada ketentuan syara’.
ZAKAT BAIK PULIH EKONOMI
Bagaimana institusi zakat berperanan bantu kerajaan baik pulih ekonomi akibat pandemik?
Secara keseluruhannya, menerusi pelbagai inisiatif, MAIWP telah membelanjakan sebanyak RM75.83 juta dana zakat khusus ketika penularan pandemik Covid-19 bermula daripada PKP kali pertama.
Antaranya, kita memperkenalkan Bantuan Kecemasan Covid-19 bagi bantu yang terjejas pendapatan akibat Covid-19. Bantuan ini ditumpukan kepada peniaga kecil, pemandu teksi atau e-hailing, pengawal keselamatan, mereka yang hilang pekerjaan dan lain-lain golongan yang terjejas pendapatan.
Sejak PKP dilaksanakan, menerusi Bantuan Kecemasan Covid-19 ini sahaja, MAIWP membantu 23,420 penerima dengan jumlah agihan zakat RM9.27 juta. Terkini, MAIWP mengumumkan lagi peruntukan tambahan RM9.5 juta bagi Bantuan Kecemasan Covid-19 ini yang mensasarkan 19,000 penerima. Pada masa sama kami perkenalkan banyak program termasuk asnafpreneur.
Boleh huraikan lanjut?
Ia bagi membantu usahawan dalam kalangan asnaf untuk mengembangkan perniagaan. Dalam suasana Covid-19 ini, MAIWP bekerjasama dengan Bank Islam Malaysia Berhad menerusi program i-Tekad, membantu peniaga-peniaga kecil berkelayakan termasuk golongan asnaf untuk mendapatkan modal tambahan. Ini bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan. Secara tidak langsung, membantu merangsang ekonomi. – Mingguan Malaysia










