GUA MUSANG: Penduduk Orang Asli suku kaum Bateq di Kampung Pasir Linggi, di sini bergotong-royong membina bangsal di atas bukit sebagai penempatan sementara sebagai persediaan menghadapi bencana banjir.
Sejak tiga hari lalu, mereka membina 50 bangsal bagi menempatkan lebih 500 penduduk daripada 90 keluarga Orang Asli suku Bateq di kampung itu.
Tok Batin Kampung Pasir Linggi, Mohd. Azman Talib berkata, mereka mengambil iktibar kejadian banjir besar yang berlaku pada penghujung 2014 apabila terputus hubungan dan rumah ditenggelami banjir.
Katanya, penduduk membina bangsal menggunakan buluh dan kayu sebelum meletakkan kanvas atau khemah sebagai bumbung.
“Jika hujan lebat kami lari ke atas bukit kerana bimbang hujan berterusan selama beberapa jam menyebabkan air sungai meningkat dengan cepat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, Penghulu Pasir Linggi, Harun Ismail berkata, penduduk sudah bersedia menghadapi banjir apabila bekerjasama membuat persiapan membina bangsal.
Katanya, kampung mereka tidak mempunyai pusat pemindahan sementara (PPS) yang selamat untuk berteduh jika berlaku banjir.
“Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi yang menjadi PPS berada di kawasan rendah. Khemah di atas ini bukit ini boleh memuatkan antara satu hingga dua keluarga dengan bilangan 10 orang,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Abdul Razak Salleh, 55, berkata, sejak seminggu lalu, hujan berterusan di daerah ini menyebabkan jalan ke kampung berkenaan mula dinaiki air.
“Jarak perkampungan kami yang jauh hampir 100 kilometer dari bandar Gua Musang menyebabkan anggota keselamatan lambat memberi bantuan sekiranya berlaku kecemasan atau bencana.
“Kami pernah melalui pengalaman memeritkan apabila tidak dapat keluar ke bandar dan terpaksa menunggu bantuan kerana jalan perhubungan terputus,” katanya. – UTUSAN ONLINE










