Asas penyatuan umat Islam - Utusan Malaysia

Asas penyatuan umat Islam

ASAS penyatuan umat Islam jelas terpancar dengan menghadap kiblat yang sama selain menyembah tuhan yang Esa iaitu Allah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Rasulullah SAW adalah tokoh penyatuan dalam sejarah Islam yang dalam banyak aspek kehidupannya sama ada di Mekah mahupun Madinah, bahkan kesungguhannya menyatupadukan umat Arab telah dibuktikan sebelum kenabian baginda lagi.

Sheikh Said Ramadan al-Buti (1991) menceritakan ketika kaabah siap dibina pada tahun 605 Masihi, berlaku perbalahan antara kabilah Arab sehingga hampir menumpahkan darah lantaran perebutan untuk meletakkan hajarul aswad di tempatnya.

Menurut riwayat daripada Jabir bin Abdullah r.a, akhirnya mereka bersetuju melantik siapa terlebih dahulu memasuki masjidil haram sebagai hakim untuk menyelesaikan masalah itu.

Menurut Imam al-Bukhari dalam sahihnya, dengan izin Allah SWT bagindalah orang pertama yang memasuki masjid dan akhirnya baginda dilantik sebagai hakim. Ibnu Abbas r.a yang ketika itu berada bersamanya berkata: “Jadikanlah selendangmu sebagai alas untuk meletakkan hajarul aswad”.

Lalu baginda meletakkan hajarul aswad di atas selendang itu dan meminta setiap ketua kabilah memegang di penjuru selendang itu, apabila sampai di penjuru kaabah maka baginda mengambil hajarul aswad dan meletakkannya di tempatnya.

Walaupun kabilah itu kafir musyrik, namun baginda tetap menyatupadukan mereka demi menjaga kehormanian penduduk Mekah ketika itu yang terdiri daripada pelbagai kabilah.

Begitu juga selepas hijrah Nabi SAW ke Madinah, baginda mempersaudarakan kabilah Yahudi seperti kabilah Aus dan Khazraj daripada bani Qainuqa’, Nadhir dan Quraizah iaitu kabilah Yahudi terbesar di Madinah.

Walaupun secara zahir kelihatan seperti penyatuan golongan kafir musyrik dan Yahudi. Namun sebenarnya proses penyatuan ini sebagai strategi bijak baginda untuk mendapat sokongan rakyat terhadap usaha pembinaan negara Islam dan kekuatan umat Islam itu sendiri.

Perintah penyatuan ini dijelaskan melalui firman Allah SWT: Sesungguhnya umat kamu ini umat yang satu sahaja dan Akulah Tuhan kamu, maka sembahlah Aku. (al-Anbiya’: 92).

Umat yang satu ini ialah umat Islam seperti sabda Nabi SAW: Seorang muslim itu saudara kepada muslim yang lain, dia tidak akan menzalimi dan membiarkannya. (Riwayat al-Bukhari).

Sheikh Yusuf al-Qaradawi dalam Konvensyen Fiqh Ummah (2012) menyebut tentang masalah Fiqh al-Ikhtilaf yang sepatutnya bukan menjadi alasan perpecahan.

WAJIB BERSATU

Menurutnya, umat Islam wajib bersatu atas banyak perkara yang sama dan mengetepikan perbezaan yang sedikit. Sebabnya, umat Islam hanya akan terselamat daripada bahaya melalui penyatuan dengan bimbingan golongan ilmuwan dan pemikir Islam yang memahami tuntutan dan hakikat ini, bukan berasaskan semangat semata-mata.

Hanya orang Islam yang memahami perkara akidah yang mencakupi soal-soal ghaib iaitu keimanan kepada Allah SWT dan rasul-Nya melalui penyatuan umat atas dasar akidah Islamiah yang pasti akan menyelamatkan umat manusia keseluruhannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Hanya orang mukmin sahaja yang bersaudara, oleh itu damaikanlah di antara dua saudara kamu dan bertaqwalah kepada Allah semoga kamu sentiasa mendapat rahmat. (al-Hujurat: 10)

Ayat ini sudah memadai untuk difahami bahawa inilah asas yang jelas dalam penyatuan umat Islam.

Jika sirah nabawiah telah menunjukkan penyatuan sesama kafir sekalipun dibuat oleh baginda maka, apatah lagi penyatuan umat Islam yang sudah pasti membawa kepada kebaikan agama, dunia dan akhirat. Umat Islam mempunyai satu tuhan, satu akidah, satu kiblat, satu syariat dan satu kitab yang menjadi asas kukuh ke arah pemerintahan dan pentadbiran Islam yang lengkap dan menyeluruh tanpa ada perasaan takut dari sebarang tentangan golongan kuffar yang melampau dan sentiasa mengganggu gugat kemuliaan Islam.

Sesungguhnya kelemahan umat Islam antaranya berpunca akibat perbalahan dan sikap berbantah-bantah dalam urusan agama. Kemusnahan negara Islam seperti Palestin, Syria, Iraq, Libya dan Tunisia membuktikan kerakusan pemimpin Islam dengan kuasa dan harta membuka peluang kesempatan kepada kuasa besar dunia untuk masuk bersama teknologi dan ideologi mereka yang membunuh jiwa-jiwa Islam yang tidak berdosa.

Selain itu, kita dapat lihat proses pembersihan umat Islam yang menyayat hati di Rohingya, Bosnia, Pattani, Mindanao dan Xin Jiang sebenarnya berpunca akibat kelalaian umat Islam yang sedang nyenyak tidur diulit mimpi di atas tilam empuk.

Ingatlah bahawa Umar al-Khattab r.a sanggup keluar sehingga ke Rom, Mesir dan Parsi semata-mata untuk menyatupadukan umat manusia atas nama Islam.

Oleh itu, penyatuan Islam bukanlah berasaskan nama semata-mata. Sama ada namanya perikatan, muafakat, gabungan atau apa sekalipun yang penting asas penyatuan itu wajib menjamin kemuliaan Islam seperti kemuliaannya yang telah termaktub di sisi Allah SWT dan Rasul-Nya.

Apabila penyatuan dapat menjamin asas ini, maka setiap umat Islam wajib secara mutlak menyokong dan membantu ke arah penyatuan tersebut. Kita wajib menyokong dan bersama dalam apa sahaja usaha ke arah penyatuan umat Islam sama ada di peringkat kerajaan, parti mahupun NGO termasuklah usaha seperti kempen Buy Muslim First, utamakan yang halal dan bersatu demi Islam.

Jika umat Islam sendiri bersekongkol dengan golongan kuffar, maka tiada lagi kemanisan iman dalam diri mereka. Yakinlah apabila menjaga Islam, insya-Allah akan terjagalah bangsa dan negara kita. Wallahu’alam

  • FAHIMI ZAKARIA, Pensyarah Pusat Pengajian Asasi, Management & Science University (MSU)
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×