KUALA LUMPUR: Meloloskan wanita warga asing terutamanya dari China untuk dijadikan gadis pelayan pelanggan (GRO) di negara ini menerusi pengaturan (setting) kaunter khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.
Lebih mengejutkan, dianggarkan lima hingga 10 kaunter dibuka dalam satu-satu masa yang mana anggota Imigresen yang telah dibayar ejen akan bertugas di situ sebelum melepaskan mereka tanpa semakan dan pemeriksaan.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, kegiatan yang dilakukan sejak tiga tahun lalu itu terbongkar apabila beberapa individu yang diburu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berperanan sebagai ejen membawa wanita ini diberkas menerusi Op Selat.
Jelas sumber SPRM, ejen-ejen ini akan membekalkan wanita kepada kelab-kelab malam mewah di ibu negara dengan bayaran tertentu untuk dijadikan GRO.
“Hasil penahanan dua suspek masing-masing berusia antara 35 dan 49 tahun sebanyak 10 pasport warganegara China dirampas SPRM selain wang tunai RM60,000 hasil aktiviti itu.
“Beberapa kenderaan mewah seperti Range Rover Evoque dan Toyota Alphard disita,” katanya di sini semalam.
Terdahulu, dua individu yang dipercayai berperanan sebagai ejen berkaitan kes sindiket rasuah dalam pemalsuan cap sempadan di pintu masuk antarabangsa negara direman kelmarin.
Hasil penahanan ini menjadikan kesemua mereka yang ditahan adalah seramai 65 orang terdiri daripada 39 pegawai Jabatan Imigresen, ejen (17) dan orang awam (9) dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Pada 21 November lalu, Utusan Malaysia melaporkan hasil pembongkaran SPRM berhubung kegiatan rasuah dalam urusan cap palsu di pintu masuk negara mendapati sindiket itu melibatkan rangkaian aktiviti jenayah penyeludupan antarabangsa khusus dari China, Vietnam, Indonesia serta Bangladesh.
Akhbar ini turut melaporkan, proses mengatur (setting) di kaunter-kaunter imigresen khususnya di dua lapangan terbang utama negara telah digerakkan oleh anggota sindiket yang terdiri daripada ejen-ejen di luar negara.
Sumber memberitahu, mana-mana pelawat yang telah disenarai hitam yang ingin masuk ke Malaysia atas aturan sindiket akan dimaklumkan nama, nombor pasport dan jadual penerbangan mereka kepada ejen-ejen di Malaysia.
Katanya, ejen-ejen itu akan berhubung dengan pegawai Imigresen di KLIA dan KLIA2 untuk mengatur (setting) kaunter yang akan membantu meloloskan pekerja asing atau pelawat asing masuk dengan mudah ke Malaysia. – UTUSAN ONLINE










