
KEJUTAN terbesar Pentas Akhir Anugerah Lagu Indie (ALI) 2020 pastilah apabila lagu Penawar nyanyian Margosa diumumkan sebagai juara.
Bukan sahaja penonton, malah semua yang terlibat dalam penciptaan dan persembahan lagu itu sendiri tidak menyangka Penawar mampu menewaskan 12 lagu lain, termasuk Pelukan Angkasa nyanyian Sekumpulan Orang Gila (SOG) yang dicipta komposer serta penulis lirik yang sama.
Menggali kekuatan Penawar sehingga boleh bergelar juara, ia mungkin terletak pada konsep lagu dan persembahan mereka pada malam itu yang seiring dan mempunyai asas yang kukuh.
Seperti yang diceritakan Margosa, persembahan mereka diinspirasi daripada kehidupan manusia zaman Medieval di Eropah Utara. Konsep itu diserap sepenuhnya dalam persembahan mereka baik dari segi audio mahupun visual.
Pemakaian mantel bertukup dan nyalaan lilin, selain permainan lampu dan alunan vokal Raja Nazrin pada permulaan semuanya bertujuan menyampaikan suasana Medieval yang berasaskan kepercayaan pagan dan hierarki perubatan yang dipimpin para dukun.
Ia selari dengan penciptaan lagu itu yang mesejnya ringkas: perjalanan jiwa seseorang yang mahu move on. Namun, Raja Nazrin sebagai komposer tidak mahu ia disampaikan dalam nada kontemporari, maka penawar menjadi jawapan kerana zaman dahulu, untuk menghilangkan kesakitan manusia akan mencari penawar.
Lagu itu dikuatkan lagi dengan sentuhan Fazleena Hishamuddin sebagai penulis lirik. Fazleena berjaya menyampaikan keinginan untuk sembuh daripada luka kecewa dengan menyekutukan perasaan bersama unsur alam.
Ia sememangnya kekuatan Fazleena seperti yang dibuktikan dalam lirik Terbanglah (nyanyian SOG) dan Pelukan Angkasa yang turut dihasilkannya. Dia seorang penulis yang berkebolehan memandang alam untuk membaca manusia.
Metafora alam seperti hujan, bukit dan langit diguna tepat untuk menyampaikan rasa dan ini menjadikan lirik Penawar sesuatu yang sangat ringkas tetapi sarat dengan makna dan rasa.
Sebagai pembaca penulis mapan seperti T. Alias Taib, Eka Kurniawan dan Haruki Murakami, Fazleena mampu menyampaikan makna yang kuat menggunakan kata-kata yang ringkas.
Satu lagi kekuatan Margosa adalah pada vokalisnya, Resya Rahman yang mempunyai suara unik dan gemersik. Ada yang membandingkannya dengan Anggun dari Indonesia.
Untuk Penawar, Resya melunaskan tanggungjawabnya dengan baik terutamanya di pentas akhir. Penyampaiannya lengkap bersama pakej teknik dan penjiwaan.
Kejayaan menjadi juara sulung ALI membuktikan Margosa bukan calang-calang kugiran. Selain Resya dan Raja Nazrin, Margosa turut dianggotai Pjay sebagai pemain bass.
Kugiran ini telah melancarkan sebuah album penuh, The Phase yang mengandungi 14 lagu Februari lalu.
Selain Penawar, album itu turut mengandungi lagu lain seperti Kotacinta, Safe Haven, Jane Doll dan Suatu Yang Tak Pasti.
Menurut Raja Nazrin, Penawar bukanlah lagu kegemaran mereka dalam album tersebut, sebaliknya mereka lebih mengharapkan lagu Abadi Tak Semestinya Indah dan Luka Baru mendapat tempat dalam ALI2020.
Namun, seperti yang dikatakan Fazleena, juri berkemungkinan melihat Penawar mempunyai nilai komersial yang lebih tinggi untuk menarik peminat baharu buat Margosa.
Katanya, ia baik untuk kugiran indie seperti Margosa untuk meluaskan spektrum pendengar supaya lebih ramai dapat menikmati karya mereka.
“Mungkin juri lihat Margosa akan diterima bukan hanya dalam jalur indie,” katanya.
Kejayaan dalam ALI mempersiapkan Margosa untuk sesuatu yang lebih besar selepas ini. Namun, semua ahli kumpulan itu masih mengunci mulut tentang perancangan itu.
“Sebelum Covid-19 lagi kami dah ditawarkan sesuatu yang besar tapi kami belum boleh umumkan lagi. Yang pasti ia besar dan mengubah haluan muzik Margosa,” kata Raja Nazrin. –
Rondivu-Mingguan Malaysia










