Tok Mat layak dilantik TPM - Utusan Malaysia

Tok Mat layak dilantik TPM

KAMARUL AZMAN KHAMIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Desas-desus siapa calon daripada UMNO yang bakal diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri hangat diperkatakan dengan beberapa nama disebut-sebut mengisi jawatan nombor dua kerajaan itu.

Jika Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ditolak, senarai tiga disebut-sebut bakal mengisi jawatan tersebut adalah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Namun, kalangan pengana­lisis politik berpendapat, mereka melihat Mohamad pemimpin paling sesuai dilantik Timbalan Perdana Menteri berdasarkan kedudukannya dalam parti di samping imej bersih serta kewibawaan kepemimpinannya.

UMNO telah mengatur dan mengadakan beberapa mesyuarat termasuk malam tadi dipercayai membincangkan isu calon Timbalan Perdana Menteri.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Azman Khamis berkata, berdasarkan hierarki parti, jika Ahmad Zahid ditolak, Mohamad orang nombor dua parti itu paling sesuai dilantik jawatan tersebut.

Katanya, pemilihan Mohamad memperlihat keadilan kepada UMNO dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu juga sangat disenangi imejnya baik kawan dan lawan.

Katanya, tidak menjadi masalah Mohamad dilantik sebagai Senator sebelum mengisi jawatan nombor dua itu, malah perkembangan tersebut akan menjadi sejarah baharu di negara ini.

“Jika Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) menolak Ahmad Zahid, Mohamad sebagai orang nombor dua parti adalah calon paling sesuai dilantik. Malah, tindakan melantik mengikuti hierarki dalam parti itu nampak lebih memberi keadilan kepada UMNO.

“Saya percaya, akar umbi, golongan belia dan rakyat khususnya menyokong pelantikan Mohamad yang tidak ada sebarang isu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Akhbar ini kelmarin melaporkan, UMNO tidak pernah membincangkan nama lain kecuali Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO sebagai calon Timbalan Perdana Menteri.

Ini kerana secara asasnya jawatan Timbalan Perdana Menteri yang dituntut UMNO adalah hak presiden selaku individu tertinggi dalam kepemimpinan parti berkenaan.

Menurut Kamarul Azman, jika ada nama lain, mengikut hie­rarki seterusnya adalah Ismail Sabri sebagai Menteri Kanan yang mempunyai pengalaman luas selain sudah terbukti berjaya khususnya ketika menguruskan pandemik Covid-19.

“Nama lain yang sesuai adalah Hishammuddin yang juga mempunyai pengalaman luas di dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini,” ujarnya.

Seorang lagi penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Rusdi Omar turut senada bahawa Mohamad calon terbaik dari UMNO sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Katanya, pelantikan tersebut mestilah mengikut hierarki selain Ahmad Zahid yang dilihat cukup sukar untuk dilantik kerana mempunyai banyak isu termasuk kes-kes di mahkamah.

Katanya, meskipun diakui Hishammuddin juga layak berdasarkan pengalaman luas namun dalam hierarki parti, Menteri Luar itu hanya Bendahari Agung BN, itu pun atas lantikan.

“Apa jua keputusan perlu di­serahkan kepada Perdana Menteri yang mempunyai budi bicara atau prerogatif untuk memilih calon Timbalan Perdana Menteri. UMNO tidak boleh paksa Muh­yiddin dalam urusan pemilihan Timbalan Perdana Menteri ini.

“Bagi saya, lebih baik lantik pemimpin yang tidak mempunyai masalah, bersih dan Tok Mat (Mohamad) adalah pilihan terbaik. Apa pun, keputusan adalah atas budi bicara Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN