Tetamu ‘pesta’ hari jadi dikompaun - Utusan Malaysia

Tetamu ‘pesta’ hari jadi dikompaun

SEPASUKANanggota polis menyerbu sebuah banglo yang dijadikan tempat ‘pesta’ menyambut hari jadi selepas didapati penghuninya gagal mematuhi SOP PKPP di Batu Ferringhi, malam kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seramai 42 tetamu yang hadir pada ‘pesta’ ulang tahun kelahiran di sebuah banglo mewah di Batu Ferringhi di sini dikompaun selepas gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kelmarin.

Mereka yang terdiri 34 lelaki dan lapan wanita berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun itu diperiksa dalam Op Pemantauan dan Pematuhan SOP PKPP, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) mulai pukul 10 malam.

Difahamkan, mereka menye­wa inap desa berkenaan bagi meraikan sambutan ulang tahun kenalan rapat secara peribadi.

Pesta itu juga dikatakan turut disajikan dengan minuman keras dan bekalan dadah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pemeriksaan men­dapati mereka tidak mema­tuhi SOP PKPP dengan gagal mengamalkan jarak fizikal dan pemakaian pelitup muka.

Menurutnya, polis turut me­ne­mukan ketamin seberat 1.40 gram di dalam rumah berkenaan.

“Hasil ujian air kencing mendapati empat penghuni inap desa berkenaan iaitu tiga lelaki dan seorang wanita positif dadah jenis methamphetamine termasuk 17 daripadanya mempunyai rekod dadah serta jenayah lampau.

“Pemilik rumah berkenaan juga dikenakan kompaun oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kerana menjalankan perniagaan inap desa tanpa lesen,” katanya di sini semalam.

Kompaun yang dikeluarkan ke atas kesemua individu terbabit adalah di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Katanya, polis turut menahan seorang pengusaha pusat hi­buran di sini kerana menjalankan aktivi­ti terlarang selain tiada lesen hiburan awam yang sah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN