MENJADI sasaran popular netizen dalam laman sosial kini, sehingga temu ramah ini dibuat, penyanyi ini masih mengunci rapat mulutnya. Enggan mendedahkan sebarang butir terbaharu mengenai kontroversi yang sedang dihadapi dirinya dan suami, harapan Siti Sarah Raisuddin semoga ada waktu sesuai untuk dia dan Shuib, berkongsi kelak.
Namun buat masa sekarang, kata penyanyi berusia 36 tahun ini, senang untuk dia jelaskan apa yang dilaluinya berkaitan kontroversi itu sebagai satu pengalaman yang mendewasakan dirinya.
“Tiada apa yang boleh dikongsi, buat masa ini saya mahu semua orang hormati pihak berkuasa yang masih menjalankan tugas.
“Apa yang dilalui kami selama beberapa minggu mungkin nampak berat. Namun saya sangat bersyukur. Perjalanan ini sentiasa disertakan dengan doa dan sokongan mereka yang benar-benar mengenali kami terutamanya keluarga dan rakan-rakan terdekat,” kata penyanyi yang popular dengan lagu Kesetiaan dan Jangan Kau Mimpi ini.
Cukup mustahil untuk dirinya tidak tahu mengenai fitnah dan kecaman bertebaran dalam laman sosial dalam keadaan sekarang, namun sebagai manusia biasa, bekas peserta program Gegar Vaganza musim ketiga ini mengakui, hatinya juga terusik sedih.
Namun tegasnya, itu bukanlah petanda dia mengalah. Berada dalam posisi yang tidak membenarkan dia untuk mempertahankan diri, Sarah yakin ada hikmah berbeza yang menanti pihaknya kelak.
“Apa yang saya belajar daripada semua ini adalah nilai kesabaran. Bukan saya dan suami tidak mahu mempertahan diri. Tetapi ada prinsip yang perlu kami hormati.
“Mudah-mudahan akan sampai waktunya untuk saya jelaskan keadaan sebenar. Tak sabar tunggu kes ini selesai supaya dapat membersihkan nama kami,” katanya ringkas.
Kaya tiba-tiba
Pada awal perkahwinannya sembilan tahun lalu, sama seperti pasangan lain, mereka turut melalui waktu sukar. Berlalu masa, siapa sangka usaha yang mereka curahkan selama ini membuahkan hasil.
Melihat ini sebagai kejayaan buat keluarga besarnya, bagi Sarah dia tidak pernah berbangga dengan kemewahan. Malah dia yakin dalam setiap rezeki dimilikinya sentiasa ada bahagian yang perlu dikongsikan.
“Orang hanya mahu bercakap bila kita sudah berjaya, tetapi mereka tidak pernah ingin ambil tahu apa yang terpaksa kami lalui untuk berada di tahap sekarang. Ini bukan kerja satu malam.
“Jatuh bangun dalam perniagaan bukan cerita dongeng. Pernah kami juga ditipu sehingga terduduk. Mungkin saya dan Shuib tidak diberikan kelebihan dari segi kepandaian. Namun kuasa Allah, kami dipertemukan dengan mereka yang cukup bijak dan ikhlas dalam perniagaan untuk membantu kami sehingga kini,” katanya yang juga menjadi wajah eksklusif untuk perniagaan air yang diusahakan Shuib, BubbleBee.
Ketika ada pihak yang sibuk mengira nilai harta dan kekayaan yang dimiliki pasangan popular ini, Sarah pula lebih senang untuk terus menghargai pengorbanan suaminya. Menyaksikan sendiri kehidupan harian seorang lelaki yang dianggapnya sebagai tunjang keluarga, tiada sebab untuk dia menghalang suaminya untuk menikmati hasil titik peluh sendiri.
“Shuib tiada bezanya seperti suami dan ayah lain. Bekerja keras untuk keluarga, malah saya sendiri sebagai isteri cukup bahagia bukan kerana kemampuannya untuk memberi keselesaan tetapi sikap tanggungjawab yang ditunjukkan.
“Melihat apa yang dilakukan sehingga kini, sebagai isteri saya yakin dia memang layak menikmatinya,” katanya.
Terima kasih netizen
Jika diikutkan sejak awal tahun ini nama penyanyi ini dan suaminya seringkali menjadi tumpuan. Melalui beberapa kontroversi dilalui mereka, tidak salah untuk mengatakan nama pasangan ini menjadi antara teratas di enjin carian internet. Melihat ini sebagai dugaan untuk mereka, kata Sarah dia sentiasa reda.
“Sebagai manusia kita juga tidak akan pernah sempurna. Jadi bila berhadapan dengan keadaan seperti ini saya ingatkan diri bersikap positif.
“Sebab itu bila membaca komen negatif, sekali pun saya tidak akan melatah. Malah saya tetap mahu berterima kasih kepada mereka yang meluangkan masa menulis komen seperti itu. Jujurnya itu bagaikan motivasi untuk kami bergerak lebih maju,” katanya yang kini dalam persiapan untuk mengeluarkan lagu terbaharunya bersama penyanyi Hazama.
Jika ada artis yang dipulau kerana kontroversi, Sarah bagaimanapun mempunyai kisah berbeza. Meletakkan kepercayaan sebagai asas persahabatan, katanya, dia cukup berhati-hati memilih kawan dalam mengelakkan berhadapan dengan yang sekadar mengambil kesempatan.
“Suami adalah teman baik saya, di luar pula kami mempunyai lingkungan rakan yang tidak besar. Jujurnya lebih senang untuk tidak mempunyai rakan yang ramai.
“Sebab itu, bila ada yang menyebarkan fitnah, saya tidak pernah takut untuk mempunyai rakan yang akan membelakangkan kami. Sebab kami sentiasa meletakkan kepercayaan dalam setiap hubungan yang terjalin,” katanya lagi. – Mingguan Malaysia












