Temco Penjara Pokok Sena dilanjut - Utusan Malaysia

Temco Penjara Pokok Sena dilanjut

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk melanjutkan Pe­rintah Kawalan Pergerakan Di­perketatkan Secara Pentadbiran (Temco) di Penjara Pokok Sena selama 14 hari lagi sehingga 7 November ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bagi memastikan rantaian Covid-19 diputuskan sepenuhnya di dalam penjara tersebut terutama dalam kalangan kakitangan.

Menurut beliau, saringan oleh Kementerian Kesihatan se­hingga semalam mendapati masih terdapat kes positif dalam kalangan banduan dan kakita­ngan penjara tersebut.

Pada masa sama, beliau memberitahu, kerajaan turut membuat keputusan untuk menamatkan perintah Temco di Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan Tawau selepas lebih sebulan ia dilaksanakan sejak 11 September lalu.

“Sehingga 21 Oktober lalu, Kementerian Kesihatan telah membuat 1,250 saringan di Penjara Tawau manakala 1,196 sa­ringan kakitangan di kuarters Taman Ehsan.

“Sehingga kini tiada lagi kes aktif direkodkan di Penjara Tawau manakala hanya dua kes positif di Kuarters Penjara Taman Ehsan dan sedang menerima rawatan. Walau bagaimanapun lokaliti ini masih tertakluk di bawah pelaksanaan PKP Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 639 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan 634 daripadanya telah dikompaun manakala empat lagi direman dan seorang dijamin.

Katanya, antara kesalahan itu ialah penjarakan fizikal (228), tidak memakai pelitup muka (209), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (106), aktiviti pusat hiburan (15), dan lain-lain kesalahan (81).

“Sebanyak 5,445 pemeriksaan dilakukan semalam melalui 3,171 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 13,630 anggota.

“Operasi Benteng juga telah berjaya melakukan tangkapan yang melibatkan 38 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas dua bot dan tiga kendera­an darat melalui 300 sekatan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, sehingga semalam, seramai 52,841 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk antarabangsa dan ditempatkan di 66 ho­tel dan 17 premis lain.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 8,196 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 381 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 44,264 individu telah dibenarkan pulang.

“Sejak 30 Mac lalu sebanyak 10,682 operasi sanitasi telah dilakukan merangkumi 136 zon. Sebanyak 13,312 premis telah disanitasi yang terdiri daripada 2,739 pusat perniagaan, 1,612 kawasan perumahan termasuk PPR, 2,645 tempat awam, 354 pasar raya, dan 5,962 bangunan kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN