PUTRAJAYA: Kesemua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas mengulangi pendirian memberi sokongan penuh tidak berbelah bahagi terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, semua ahli Parlimen daripada parti itu tidak terlintas sedikit pun untuk berpendirian sebaliknya kepada Presiden, sekali gus dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau mendapat sokongan majoriti untuk menubuhkan kerajaan baharu adalah tidak berasas dan bersifat rekaan semata-mata.
Menurut beliau, percaturan beliau untuk menubuhkan kerajaan baharu membuktikan Ahli Parlimen Port Dickson itu disifatkan seorang ahli politik yang mementingkan diri dan sanggup meletakkan cita-cita peribadi untuk menjadi Perdana Menteri melampaui segalanya sehingga sanggup mengorbankan kepentingan rakyat.
Katanya, dakwaan Presiden PKR itu juga telah menambahkan kebimbangan dalam kalangan rakyat ketika ini yang amat bergantung kepada kerajaan dalam mengekang gelombang ketiga penularan wabak Covid-19.
“Sehubungan itu, Bersatu menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk tidak menghiraukan dakwaan Anwar serta terus memberikan kerjasama padu kepada kerajaan untuk mengekang penularan Covid-19 dan seterusnya memulihkan semula ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Dalam pada itu, Pas turut menegaskan kesemua 18 Ahli Parlimen parti itu menyokong penuh Muhyiddin sebagai Perdana Menteri yang memimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang.
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas tidak terkesan langsung dengan retorik yang dibawa Anwar bahawa beliau mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Justeru, katanya, Pas mengganggap isu yang dibangkitkan oleh individu yang sama ini adalah tindakan terdesak yang mempunyai kepentingan serta cita-cita peribadi di samping ‘menangguk di air keruh’ ketika Kerajaan PN sedang menguruskan masalah Covid-19 serta langkah pemulihan ekonomi negara.
“Dalam hal ini Pas sekali lagi amat yakin Yang di-Pertuan Agung tidak akan melayan tindakan ‘desprados’ ini, sebaliknya baginda akan mengendalikannya berdasarkan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan negara yang amat jelas.
“Pas turut berharap kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang yang tegas terhadap mana-mana pihak yang menimbulkan keresahan dan kekeliruan rakyat di samping mengakibatkan terjejasnya sektor ekonomi negara dari tindakan tersebut,” katanya.
Sementara itu, semua parti dalam BN sepakat untuk tidak menyertai Anwar dalam pembentukan kerajaan baharu.
Perkara itu telah dibincangkan antara presiden setiap parti dalam gabungan itu dan meletakkan komitmen menyokong Muhyiddin untuk menerajui kerajaan dalam tempoh negara dilanda pandemik itu.
Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, kestabilan politik adalah sangat penting untuk menjamin pertumbuhan ekonomi demi menarik lebih banyak pelabur asing ke negara ini.
“Justeru, adalah penting semua parti politik memberikan fokus terhadap pemulihan ekonomi dan menghentikan segala cita-cita politik peribadi yang boleh merugikan rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE










