Politik dan puisi dalam satu tubuh - Utusan Malaysia

Politik dan puisi dalam satu tubuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SENI DAN BUDAYA

“MARI bersifat prakti­kal, tuan-tuan dan jangan terbawa oleh sentimen. Dalam politik tidak ada yang lebih buruk daripada sentimen.

“Walaupun mengikut pertimbangan manusiawi, kita melarang penanaman candu di jajahan (Filipina) ini, namun kita tetap bertolak ansur dengan merokok!”

Bait di atas dipetik dari buku The Reign of Greed. Ia karangan tokoh politik haluan kiri Filipina, iaitu Jose Rizal (1861-1896).

Jadi, apa kaitan Rizal, anak kelahiran Manila yang berhaluan kiri itu dengan rencana minggu ini?

TAK AMBIL PUSING SENTIMEN KIRI

“Saya suka membaca, dan tertarik dengan penulis-penulis seperti Chairil Anwar di Indonesia serta Jose Rizal dari Filipina.

“Saya tidak ambil pusing, jika mereka ini haluan kiri. Kerana bagi saya ia satu kebetulan barisan penulis yang saya gemari ini semuanya tak takut mati dan tak takut penjara.” Demikian pembuka bicara Datuk Wira Anuar Tahir, ahli politik yang juga penulis buku puisi tersohor tanah air.

Menyantuni beliau memberi peluang untuk mendalami sisi kehidupan seorang penulis puisi yang bergelumang lumpur dan kotoran politik. Kebetulan saat pertemuan diatur dengan Mingguan

Malaysia, Anuar baru sahaja menerbitkan karya barunya berjudul Koleksi Puisi: Manusia dan Perjuangan maka perbualan rancak, berkisar kehidupannya sebagai pemuisi di samping ahli politik.

POLITIK DAN PUISI BERPISAH TIADA

Anuar Tahir nama yang tidak asing dalam politik tempatan.

Beliau antara tokoh dari Parti Amanah Negara (Amanah) yang aktif berpolitik merekrut pengikut, sehingga Pakatan Harapan (PH) berjaya mengungguli kerusi empuk Putrajaya sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Katanya, sejurus merampas kuasa, PH melantik beliau sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya, yang mana Menteri waktu itu ialah Baru Bian.

Kata Anuar yang juga Ahli Parlimen Temerloh, meskipun menjawat jawatan Timbalan Menteri, ia tidak memudarkan roh penulis dan pemuisi dalam dirinya.

“Sejak Julai 2018, iaitu seawal sebulan selepas PH ambil alih kerajaan dan saya jadi Timbalan Menteri, saya curi-curi masa untuk menukilkan puisi demi puisi. Hasilnya, siaplah buku ini pada 2019.

“Sebelum ini, saya sudah hasilkan lebih 10 buku puisi lain. Namun, untuk buku kali ini, saya mengangkat manusia-manusia yang berjasa sebagai tema,” katanya.

Katanya, antara manusia berjasa yang dinukilkan dalam karya terbaharunya itu ialah si ibu dan ayah.

“Mereka insan yang banyak mencorakkan pekerti dan peribadi saya. Mereka insan unggul, dan selayaknya dinukilkan dalam puisi,” katanya.

MINAT BERPUISI SEJAK KECIL

Katanya, minat yang mendalam terhadap puisi terbit membaluti sanubari sejak kecil.
“Saya masih ingat dengan jelas, bagaimana pada satu ketika sewaktu berusia 15 tahun, saya menyertai pertandingan drama di sekolah. Waktu itu, saya yang tulis skrip.
“Menariknya, selepas drama itu dilakonkan, cikgu saya minta skrip itu. Katanya, dia mahu ia diadaptasi sebagai novel. Itu membakar semangat saya untuk terus menulis,” katanya.
Beliau berkata, selain Jose Rizal dan Chairil Anwar, nama-nama besar yang mempengaruhi strok penulisannya termasuk Datuk Usman Awang dan Datuk A. Samad Said.
“Mereka ini sangat penting dalam membangunkan tamadun kita.
“Penulis ini adalah tulang belakang pembangunan tamadun. Saya tak boleh bayang, bagaimana keadaan dunia tanpa penulis dan karya masing-masing,” katanya.

CABARAN PASCA MODEN

Sebagai penulis yang menjadikan puisi sebagai wadah, beliau berkata, cabaran utama ialah perubahan zaman yang turut mempengaruhi daya fikir generasi masa kini.
“Kini ialah zaman pasca moden. Penulisan bukan sahaja mempengaruhi daya fikir, malah tindakan.
“Kalau satu-satu penulisan itu radikal, kesannya sangat parah kepada sistem tata kelola dunia. Contoh mudah ialah tulisan berbaur keganasan, misalnya DAESH dan ISIS,” katanya.
Lantaran itu, katanya, manusia yang hidup zaman pasca moden ini harus memantapkan daya fikir untuk menolak fahaman radikal yang berpotensi mengundang ancaman terhadap keselamatan diri dan negara.

JANGAN BERHENTI MENULIS

Katanya, para penulis harus tabah dan lasak mengharungi ranjau berduri, demi memastikan bidang ini tidak suram.
“Saya menyeru kepada barisan penulis di luar sana, janganlah tinggalkan bidang ini. Ketahuilah penulis ini terlalu besar jasanya. Sesungguhnya, ucapan-ucapan tidak sama dengan apa yang dicatatkan.
“Oleh itu, walau apa pun takdir yang membawa, tak kira apa sahaja kerjaya, jangan tinggalkan penulisan, kalau itulah yang memang sudah sebati dengan roh dan jiwa kalian,” katanya menamatkan perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN