Peniaga Putra Point terjejas - Utusan Malaysia

Peniaga Putra Point terjejas

NURUL Asmaa’ Ramli tetap menguruskan perniagaan kedai runcitnya walaupun kerajaan menguatkuasakan pelaksanaan PKPD di tiga buah blok bangunan berhampiran kedainya di Putra Point, Seremban, semalam. – UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Peniaga-peniaga di kawasan Putra Point dekat sini mendakwa perniagaan mereka terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan di tiga blok bangunan di kawasan tersebut.

Malah tinjauan Utusan Malaysia mendapati peniaga-pe­niaga akur kehadiran pelanggan merosot.

Peniaga kedai runcit, Nurul Asmaa’ Ramli, 30, berkata, sejak pagi bilangan pelanggan boleh dikira dan ia berikutan premis kedainya berhampiran kawasan yang dilaksanakan PKPD.

“Dari pagi tadi hanya beberapa orang pelanggan sahaja yang datang ke kedai dan itu pun mereka masih bimbang berikutan lokasi kedai saya yang berhampiran dengan lokasi PKPD.

“Biasanya waktu pagi ramai datang beli barang mentah tapi nampaknya orang takut nak datang mungkin beranggapan kedai kami juga terlibat dengan PKPD,” katanya ketika ditemui semalam.

Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPB dikuatkuasakan di zon Nilai mulai semalam hingga 10 November ini manakala PKPD juga akan dilaksanakan di Putra Point, Nilai dengan dua lokaliti iaitu tempat tinggal pekerja asrama.

Nurul Asmaa’ berkata, dia menjangkakan masalah tersebut dan terpaksa mencari alternatif menawarkan penghantaran barang terus ke rumah pelanggan.

Bagi pemilik restoran Aslinda Yuhanais, 24, berkata, da­lam tempoh PKPD, operasi per­niagaannya banyak bergan­tung kepada perkhidmatan penghantaran makanan mene­rusi aplikasi.

Katanya, sejak terdapat kes positif Covid-19 di Nilai, kehadi­ran pelanggan berkurangan.

“Kami terus menjalankan perniagaan, tetapi pelanggan takut nak datang mungkin kerana lokasi restoran kami yang berhampiran dengan lokasi PKPD dan apa yang saya boleh katakan keadaan betul-betul terjejas.

“Sekarang ini kami banyak bergantung dengan aplikasi Food Panda sahaja. Hari pertama PKPD pun orang dah tiada, tak tahulah lagi selepas ini bagaimana,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN