
SEBELUM ini saya pernah ceritakan perihal seorang lelaki Nigeria yang gigih menyanyikan lagu Burung Kakak Tua dalam bahasa Melayu. Kali ini seorang sahabat Grab saya, Nur bercerita tentang penumpang ‘mat salih’ yang petah berbahasa Melayu.
“Aku ambil penumpang ini di sebuah kondominium di Bukit Bintang. Bila tengok mat salih lelaki yang naik, aku pun bersedia menyapanya dalam bahasa Inggeris. Tapi belum sempat aku cakap, dia dengan riang tegur aku dulu dan memperkenalkan diri sebagai Thomas. Berbahasa Melayu pula itu,” cerita Nur.
Kata Nur, setakat tegur dengan beberapa patah bahasa Melayu, tidaklah luar biasa sebab ramai warga asing boleh memberi ucapan sebegitu.
“Cuma aku rasa dia pandai cakap Melayu. Maka aku pun ajak dia bersembang dalam bahasa kita. Aku tanya dia dari mana. Thomas jawab, dari Tanjung Rambutan. Baru keluar. Terkejut aku dan terus tanya. Kenapa masuk sana? Dia cakap, adalah kejadian sikit. Jangan beritahu polis, nanti kena tangkap semula. Mati-mati aku ingat betul, rupanya melawak pula dia,” kata Nur.
Thomas ini ekspatriat dari Kanada. Dah menetap di Malaysia selama tiga tahun. Dia bercakap bahasa Melayu dengan terjemahan Google.
“Aku tanya nak pergi Bangsar Village? Dia jawab, ya, Desa Bangsar. Nak tergelak juga aku dengar sebab dia terjemah ikut Google,” kata Nur tersengih.
Sengaja Nur bertanya bagaimana dia belajar bahasa Melayu.
“Thomas kata dia belajar bahasa kita sikit-sikit daripada pemandu Grab. Katanya, pemandu Grab tak sedar yang secara tak langsung dah menjadi cikgu secara percuma kepada orang asing,’ kata Nur.
Cerita Thomas lagi, dia tidak suka dengan cuaca di negaranya sendiri yang terlalu sejuk. Dia menganggap cuaca di Kanada lebih sejuk dari peti ais. Jadi dia sangat sukakan Malaysia.
Malah selalunya bila ditanya kepada orang luar tentang makanan kegemaran, dah pasti roti canai atau nasi lemak. Tapi Thomas sukakan nasi kerabu!
“Saya pernah pergi ke Kelate (sebutan Thomas sendiri) sebab nak makan nasi kerabu yang sedap,” kata Thomas.
Saya yang mendengar kisah Grabnya dari tadi, sebenarnya tak sabar nak bertanya, handsome ke Thomas sampai si kawan ini tak berhenti sembang.
Tak sia-sia soalan itu, sebab sebelum Thomas turun, Nur sempat ajak berswafoto.
“Selfie? Boleh tapi muka saya tak handsome, katanya pada aku. “Kau agak-agak handsome ke tak?” Tanya Nur pada saya. Dan dia pun menunjukkan gambar itu.
“Muka macam Thomas, kalau nak belajar bahasa Melayu, aku sanggup ajar free. Kalau dia nak belajar buat karangan pun, aku rela ajar sampai dia boleh buat novel lah,” kata saya dan kami ketawa. – MINGGUAN










