HEBOH baru-baru ini, ada artis terkenal didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram. Isu itu dihangatkan pula dengan kes penipuan demi penipuan seperti Macau Scam dan Love Scam. Semua ini ditakrifkan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA). Soalnya, apa punca jenayah ini?
Wartawan Mingguan Malaysia, Fahmi Faiz, Roshihan Annuar Yub, Aida Rizmariza Kamaruddin bersama jurugambar Fauzi Baharudin mendapatkan pandangan Ketua Penolong Pengarah, Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, SAC Fazlisyam Abdul Majid.
Katanya, sewaktu pandemik Covid-19, penjenayah siber ibarat wabak yang sama naik tocang.
“Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kalau kita sedar, masyarakat panik. Takut kehilangan kerja, jadi nak cari sumber pendapatan alternatif. Dari situ kena tipu,” jelasnya.
MINGGUAN MALAYSIA: Apa itu wang haram?
FAZLISYAM: Takrif paling senang, wang haram ini wang tidak sah. Hasil diperoleh dengan jalan tidak sah atau tidak mengikut undang-undang.
Definisi pengubahan wang haram?
Aktiviti atau perbuatan seseorang itu mengubah bentuk, membelanjakan, mengguna atau menyembunyikan. Apa sahaja tindakan yang dibuat terhadap hasil haram itu, ia dianggap pengubahan wang haram. Kalau ikut Akta 613, ia mengadakan satu peruntukan kepada kita semua berkaitan jenayah pengubahan wang haram. Ada empat elemen yang utama.
Apa elemen itu?
Pertama, melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung. Kedua memperoleh, menerima, memiliki, menyembunyi, memindah dan mengubah. Ketiga mengalihkan dari atau membawa masuk ke dalam Malaysia. Selain itu, merahsiakan, menghalang agensi penguat kuasa daripada dapat mengenal pasti hasil haram itu pun, kesalahan pengubahan wang haram.
Jumlah kes pengubahan wang haram diuruskan mengikut tahun?
Bagi 2019, kita buka 138 kertas siasatan. Tahun 2018, 127 kertas siasatan dan 2017, sebanyak 110 kertas siasatan dibuka manakala 2016, sebanyak 99 kertas siasatan AMLA dibuka.
Kita nampak trend dari setahun ke setahun semakin meningkat yang mana sehingga September 2020, sebanyak 127 kertas siasatan AMLA dibuka.
AMLA ini kita cuma ada siasatannya di peringkat Bukit Aman. Dan kita ada jumlah kakitangan terhad, lebih kurang 40 pegawai. Oleh itu, kita perlu jadi sangat selektif. Kena betul-betul rancang supaya setiap siasatan yang dibuat mendatangkan hasil. Kita tak sewenangnya buka kertas siasatan, sebaliknya kita buat dulu preliminary investigation, pakai working file, ada kes yang macam itu. Ada pula kes yang direct, memerlukan kita buka terus kertas siasatan, maka kita terus buka.
Contohnya macam Macau Scam, Kita tengok, mangsa ditipu dan wang disalur masuk ke akaun lain. Kalau kita tak ambil tindakan, AMLA tak bertindak pantas, duit itu akan lesap. Maka kita bertindak agar buka terus kertas siasatan dan terus bekukan akaun penjenayah.
Ada nilai tertentu untuk kertas siasatan AMLA dibuka?
Sepatutnya kalau ikut spirit of the law, tiada. Tapi memandangkan kita kekurangan kakitangan, ada kes yang mana macam pecah rumah, tapi kerugian kecil maka it is not worth it. Yang kita lihat, kita anggap macam tak memberi impak. Bila AMLA terlibat, selalunya kita akan fokus kepada kes yang memberi impak.
MODUS OPERANDI
Wang haram ‘dicuci’ jadi wang halal?
Motif kenapa orang terlibat dengan pengubahan wang haram ini adalah untuk menukar rupa bentuk wang itu. Ia bermaksud daripada haram kepada halal. Legitimate income.
Kalau ikut metodologi pengubahan wang haram, ia ada tiga peringkat. Satu, placement. Bermaksud hasil wang haram atau aktiviti yang menghasilkan wang itu. Kedua, layering bermaksud ia akan memindahkan. Proses pemindahan berlaku di peringkat layering ini. Dipindahkan, diletakkan dalam fixed deposit, ini adalah proses layering.
Yang terakhir, integrasi. Di peringkat ini, wang haram itu selepas diterima dan melalui proses layering, pusing-pusing dan balik, ia dikenali sebagai wang bersih.
Sejauh mana pengubahan wang haram menular?
Saya nak terangkan juga, hasil haram ini kita boleh bahagi kepada dua. Pertama kerugian salah dan kedua adalah keuntungan salah. Nampak macam sama, tapi tak serupa.
Kenapa? Kerugian salah ini, kita dah dapat kesan berapa kerugiannya. Contohnya, saya ditipu RM2 juta. Maka siasatan akan sasarkan, RM2 juta ini adalah duit haram. Kita dah kenal pasti. Ini bagi kes bersifat direct yang kita tahu kerugian. Kena culik dan minta wang tebusan, contohnya RM800,000 jadi nilai RM800,000 ini adalah kerugian salah. Bermaksud kerugian di pihak mangsa. Kemudian ada illegal gain. Ini adalah aktiviti haram seperti judi, pelacuran, dadah yang mana kita tidak tahu pun berapa keuntungan mereka dapat. Hanya mereka yang tahu. Tapi kita kena korek, kena siasat, itu banyak kerja dan very tedious dan mencabar.
ARTIS TERLIBAT SAMA?
Sejauh mana sindiket pengubahan wang haram sasarkan golongan artis?
Yang ini saya tak dapat jawab sebab tiada fakta. Pada masa sama siasatan dibuat pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan saya tidak berada dalam apa-apa posisi untuk mengeluarkan sebarang kenyataan.
Artis dijadikan kambing hitam?
Dalam kes artis yang dimaksudkan, saya tidak boleh komen. Tetapi bagi kes Macau Scam, didapati ada wujud suspek yang sebenarnya adalah mangsa. Dalam kes ini, dia ditipu untuk diambil guna akaun-akaun bank dia. Bila buat tangkapan, kita siasat, kita dapati pemilik akaun ini pun rupanya ditipu oleh sindiket. Dia tak tahu pun akaunnya digunakan, tapi bila dah jadi isu baru dia tahu. Jadi memang ada segelintir yang telah dijadikan kambing hitam.
Banyak sekarang ini, isu paling kerap disiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial adalah mule account iaitu akaun palsu. Baru-baru ini pun ada dilancarkan aplikasi, Semak Mule. jadi bila dapat panggilan ataupun dalam e-dagang, kalau ada penjual beri nombor akaun untuk masukkan duit, ambil nombor itu, semak di Semak Mule ini. Kalau pernah ada kes, akan dipaparkan.
SKIM CEPAT KAYA
Sejauh mana skim cepat kaya dan Multi Level Marketing (MLM) berkait dengan pengubahan wang haram?
Ada beberapa jenis MLM. Pertama, illegal deposit taking. Ia berkait pelaburan, menerima deposit. Itu di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia (BNM). Kedua, pelaburan tak wujud yang mana mangsa ditawarkan melabur dalam apa-apa skim yang sebenarnya tak wujud pun. Pada masa sama, ada MLM berbentuk produk. “Kita masuk skim ini, dapat produk sekian-sekian”. Itu bawah bidang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, namun ada masa di bawah pihak polis. Di sini, nampak garis pemisah sangat nipis. Namun yang kini kita giat perangi pelaburan tak wujud.
CARI MANGSA DI MUSIM PANDEMIK
Sejauh mana isu pelaburan tak wujud ini menular?
Semasa pandemik Covid-19 menular, ada dibuat satu kajian, apakah jenayah yang paling tinggi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ada empat. Pertama, judi atas talian.
Kedua, pelaburan tak wujud. Ketiga pinjaman tak wujud dan keempat e-belian. Maksudnya e-dagang, beli barang, bayar kemudian tak hantar barang itu. Sewaktu PKP, ini jenayah yang naik dan meningkat. Semasa PKP juga saya ambil pendekatan untuk fokus kepada empat jenayah ini. Ketika PKP kalau kita sedar, masyarakat panik. Takut kehilangan kerja, jadi nak cari sumber pendapatan alternatif. Dari situ mereka jadi sasaran.
Skim cepat kaya boleh jadi kaya?
Mana ada, tiada siapa yang kaya. Tauke dia saja kaya. Skim cepat kaya, pelaburan tak wujud, sering diuar-uarkan. Kita lihat dalam laman web BNM ada senaraikan skim yang disiasat. Polis pun, dalam program bersama komuniti, dalam Facebook, boleh semak di situ. Tindakan kempen kesedaran ini banyak sangat dibuat sampai ke peringkat daerah. Ke sekolah pun, pegawai perhubungan sekolah pun beritahu hal ini. Tetapi masalah ini bagi saya adalah personaliti itu sendiri. Kita tak boleh cakap tamak. Pertama, macam Macau Scam, mangsa panik. Padahal dia dah tahu melalui kempen, tapi bila dapat panggilan dia jadi panik. Kedua, terlalu cepat nak kaya, nak untung mudah.
Ramai artis terlibat dalam skim ini?
Saya tiada angka atau fakta mengatakan artis digunakan oleh skim cepat kaya. Tetapi kita tengok trend sekarang, artis-artis ini, instafamous, personaliti ini memang banyak digunakan untuk jadi duta-duta produk yang betul. Tapi kita tak boleh tolak andaian akan ada orang akan ambil kesempatan. Saya nasihatkan kepada influencer selidik dahulu jangan terus terima tawaran. Kemudian kalau terima dia perlu bertanggungjawab. Kenapa? Sebab dia mempengaruhi orang awam. Kalau benda tak betul, jangan jadi influencer. Dia akan menyebabkan lebih ramai terikut. Contohnya, kalau saya seorang pegawai polis, saya cakap dekat awam, ini salah atau dia ini bekas penjenayah. Orang awam tak selidik, tapi percaya tak? Kalau orang biasa cakap, masyarakat tak percaya tapi kalau saya cakap, masyarakat percaya. Begitulah analoginya sama dengan komuniti influencer.
Sasarkan artis kerana popular?
Tak mustahil dan bukan setakat artis sahaja malah golongan lain. Ada yang pergi melalui badan bukan kerajaan dan bisnes. Mereka ini, mahu berseronok dengan hasil haram itu. Maka untuk enjoy dengan bebas, dinampakkan ia seperti pendapatan sah. Ada sahaja sekarang ini, saya tak cakap ya, tapi dakwaan bahawa mungkin gunakan artis, mungkin gunakan doktor, peguam. Tapi selebriti ini, sebab mereka popular.
RUGI RATUSAN JUTA
Angka kerugian jenayah siber. Data terkini hingga September, 2020?
Jenayah siber kalau ikut kita ada empat jenayah siber utama yang disiasat. Satu telecommunication fraud yang orang bercakap Macau Scam itu. Kedua e-financial atau BEC (business e-mail compromised), akaun-akaun e-mail syarikat kena godam, minta bayaran dan masuk akaun lain. Ketiga Love Scam, keempat e-dagang atau e-commerce. Dari Januari hingga September 2020, empat jenayah ini yang direkodkan 11,175 kes. Jumlah kerugian RM332.534.648.39. Kita all out yang ini dan kita buat tangkapan 5,283 orang.
APA ITU MACAU SCAM
Kenapa gelar Macau Scam?
Kalau ikut sejarah memang dari Macau. Pernah kita proposed jadikan Phone Scam. Tapi pihak atasan tak setuju. Sebab dah sinonim dengan Macau Scam.
Apa modus operandi Macau Scam?
Macau Scam ini melibatkan panggilan telefon. Dia akan menyamar dengan pelbagai agensi. Polislah, kastam, pos laju pun ada sekarang. Dan dia akan masukkan elemen ugutan untuk takutkan orang. Bila mangsa takut dan percaya mereka akan ikutlah.
Mengapa profesional pun terjerat?
Golongan profesional pun kena Macau Scam. Sebenarnya bukan sebab kamu pandai atau tidak. Tetapi sejauh mana orang itu yang bercakap dengan mangsa itu pandai menipu, meyakinkan sampai mendatangkan ketakutan. Ada doktor kena tipu, profesor pun kena. Percaya dan panik. Pernah kita tanya seorang pensyarah macam mana boleh percaya? Dia jawab, orang yang bercakap dengannya itu, bahasa Inggerisnya sangat bagus.
Kerugian jenayah telekomunikasi sehingga September 2020?
Dari Januari, 2020. Bagi Macau Scam, jumlah kes 4,764 dengan kerugian RM232,642,026.44. Tangkapan dibuat terhadap 2,433 orang, bermakna 51.1 peratus. E-financial fraud pula, 527 kes setakat September 2020 dengan kerugian RM21, 284, 556.12. Jumlah tangkapan 118, merangkumi 22.4 peratus. Love Scam pula 1,267 kes. Ia libatkan kerugian RM44,892,378.01. Peratus jumlah tangkapan 68.2, iaitu sebanyak 864 tangkapan dibuat.
E-dagang pula atau pembelian atas talian, sebanyak 4,617 kes. Kerugiannya adalah RM33,715,687.82. Sebanyak 1,868 tangkapan dibuat, iaitu 40.5 peratus. Semua kes di atas berjumlah 11,175 dengan kerugian RM332,534,648.39.
PANGGILAN TIPU
Cara nak kesan panggilan tipu?
Agensi penguat kuasa ini, mereka cuma akan telefon, untuk panggil ambil keterangan sahaja. Dia tak pernah dalam prosedur mana-mana pun, hubungi untuk minta pindah wang dalam akaun mana ke, sembunyikan wang, minta buat bayaran, tiada!
Selalu kita telefon untuk panggil temu janji atau maklumkan apa-apa kecemasan sahaja. Contohnya, “ada ahli keluarga kemalangan, encik waris ini kah? Ada ahli keluarga kemalangan, boleh datang balai, boleh datang hospital”, itu sahaja. Ataupun, “encik, kita jalankan siasatan. Minta encik bantu sisatan, boleh tak hadir pada tarikh sekian. Surat nanti kita hantar”.
MACAU, LOVE SCAM
Beza Macau Scam dan Love Scam?
Macau Scam ini melalui telefon, tetapi Love Scam kita tengok dia gunakan media sosial. Dia bermula dengan Facebook (FB), Instagram (IG), sebab Love Scam ini, ia kena mendatangkan perasaan cinta dan sayang. Ia harus melibatkan muka. Maka suspek ini, kebanyakan lelaki warga Afrika, mereka akan cipta akaun Facebook dan ambil gambar-gambar kacak. Dan mula pancing, kemudian letaklah mesej, cari dalam Facebook yang dia agak wanita kesunyian. Lepas itu mereka cuba, mulakan ayat ajak jumpa dan bercinta.
Apa lagi kaedahnya?
Akhir sekali dia akan cakap hendak kahwin akan datang sini untuk jumpa. Tapi bila hari yang dijanjikan, mesti akan senyap. Dan seseorang akan telefon mangsa. Sebab bila dia beritahu hendak datang, mesti dia minta nombor telefon. Lepas itu akan muncul kawan dia, sekutu jenayah dia. Seseorang, biasanya orang Malaysia. Dia cakap, menyamar sebagai kastam ke, imigresen ke. Dia cakap kawan awak ini kena tahan kerana bawa duit banyak, barang kemas banyak, sebab dia cakap bila dia datang sini dia memang hendak bawa hadiah. Kawan dia akan cakap kalau hendak lepaskan dia kena duit proses. Itu yang kena tipu.
Jumlah wang haram dan harta di bawah AMLA yang dibeku atau dirampas sehingga September 2020?
Pembekuan harta ini selama 90 hari. Ini bermakna kita tidak benarkan dia melakukan transaksi. Tapi harta itu ada lagi dengan dia.
Untuk akaun pula, dari Januari sehingga Ogos, kita membekukan 912 akaun. Nilai RM136,610, 355.98. Kenderaan kita ada beku 37 unit dan hartanah lapan unit. Lepas kita bekukan 90 hari, bila dapat buktikan ini adalah subject matter, maka kita akan sita untuk tempoh sembilan bulan lagi. Ini kuasa Timbalan Pendakwa Raya (DPP) lah.
Untuk sitaan sehingga Ogos ini, nilai sitaan dibuat oleh AMLA RM89.897.444.73, termasuk wang tunai, akaun bank, bankers cheque, kenderaan, harta lain dan hartanah.










