
PADA ketika ini, sebahagian besar kumpulan WhatsApp memuat naik perincian wabak Covid-19 yang disalin tampal daripada laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN). Ini disebabkan wabak Covid-19 antara yang menjadi sohor kini (trending) di media sosial sejak angka kes meningkat, baru-baru ini.
Tetapi rasa agak kurang seronok apabila maklumat yang diulang-ulang ini di garis masa media sosial saya. Untuk mendapatkan maklumat terkini Covid-19, saya selalunya terus ke portal berita atau membaca mesej pesanan ringkas daripada MKN.
Bukan isu Covid-19 sahaja, malah isu-isu lain yang bertaraf sohor kini, misalnya pemimpin mendakwa mempunyai sokongan ahli Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri, semuanya disalin tampal berulang-ulang di media sosial. Keadaan ini sangat merimaskan.
Saya ada 10 kumpulan WhatsApp – daripada aktivis politik, bekas rakan sekerja, orang sastera dan budaya serta bekas rakan sekolah. Saya tidak banyak menjelma di garis masa kumpulan WhatsApp ini, sekadar menjadi pembaca senyap.
Tujuh daripadanya menyalin tampal perincian Covid-19 hampir setiap hari. Tidak ketinggalan menyalin tampal segala yang berkaitan ‘bakal Perdana Menteri’ hingga terlupa untuk bertegur sapa dengan kawan-kawan. Padahal itulah tujuan kumpulan WhatsApp.
Adakah orang seperti saya boleh dianggap sudah bermaklumat? Jawapannya belum tentu kerana media sosial termasuk kumpulan WhatsApp bukan punca maklumat. Tidak ada siapa yang berani memberi jaminan ketulenan dan akurasi semua salin dan tampal di media sosial.
Fenomena sosial seperti di atas memperlihatkan masyarakat kita tidak lagi ketandusan maklumat seperti dekad-dekad sebelum mengelegaknya teknologi maklumat. Tetapi masih ketandusan bahan-bahan yang menggerakkan pemikiran.
Sekarang terlalu banyak punca maklumat yang sekali gus menyumbang limpahan yang melemaskan. Tetapi tidak banyak punca bahan berpemikiran yang diselongkar kerana ia bersifat tidak popular dan terkeluar dari arus yang dicipta media sosial.
Isu yang saya ketengahkan bukan kumpulan WhatsApp atau media sosial. Sebaliknya mengenai limpahan maklumat yang tidak seimbang dengan bahan-bahan yang boleh mencerna atau mempertajamkan pemikiran. Maklumat bukan bahan permikiran. Itupun kalau yang sahih daripada punca yang berwibawa.
Walaupun begitu terdapat pelbagai portal termasuk berita yang masing-masing mempunyai matlamat tertentu. Memetik maklumat daripada portal yang tidak teruji wibawanya hanya memberi masalah, apatah lagi yang diyakini ‘bekerja’ untuk pihak tertentu.
Dari luar negara, memang tidak terkira banyaknya portal berita. Ini mencetuskan kecenderungan memetik laporan portal yang selari dengan anutan politik dan sosial dan mengabaikan yang bertentangan. Eloklah berhati-hati sebelum percaya dan menyalin tampal kepada pihak lain.
Kuantiti maklumat bukan tanda aras meningkatnya tahap pemikiran dalam masyarakat. Maklumat bukan pemikiran walaupun pemikiran bertolak daripada maklumat. Kita memang memerlukan maklumat tetapi bukan menadah secara melulu – tidak persoalkan antara benar, palsu dan merapu.
Misalnya maklumat dan perincian harian Covid-19 yang berlambak-lambak, tetapi sangat payah untuk terjumpa hantaran berupa cadangan sebagai yang jalan keluar. Dalam isu Covid-19, kita tidak akan ke mana-mana kalau hanya bermain angka-angka.
Dalam konteks kita dengan kepesatan teknologi, masyarakat sudah mendapat maklumat dengan kuantiti yang lebih daripada selayaknya. Malah sudah terlalu berlebihan. Langit komunikasi sudah terbuka luas dan dunia menjadi semakin ‘kecil’ dengan pantasnya maklumat merentas dari penjuru ke penjuru planet ini.
Bagaimanapun, untuk berdepan era limpahan maklumat ini menuntut pemikiran. Ini penting supaya mampu membezakan antara permata dan sampah sarap. Tanpa pemikiran, tidak mustahil kita memberikan keutamaan pada yang tidak kena tempatnya.
Ciri-ciri limpahan maklumat adalah kecenderungan membentuk keseragaman daripada cabang-cabang kecil kemudian mengalir sebagai satu sungai utama. Inilah juga tujuan media sosial diwujudkan – daripad pelbagai menjadi satu.
Lihat sahaja isu Covid-19, yang diperkatakan ialah jumlah kes baharu, isu politik pula Perdana Menteri kesembilan, dunia selebriti pula yang paling kaya dan sebagainya. Kita mesti berusaha untuk keluar dari pusaran dan aliran sungai maklumat yang seperti ini.
Terjebak dengan limpahan maklumat begini menjadikan kita sebahagian daripada mereka yang mengarusperdanakan isu-isu berkepentingan walaupun sesetengahnya tidak berfaedah sama sekali kepada masyarakat.
Maklumat hanya selapis dan tidak membuka lapis-lapis lain yang dianggap sebagai ‘tidak ada fakta’. Tetapi wajar diingat bahawa tidak semua kebenaran berdiri di atas fakta. Tidak semua fakta ada kebenaran.
Hanya pemikiran yang mampu memberikan pencerahan pada perkara-perkara yang tidak dibuktikan dengan fakta, misalnya kapitalis sedang berebut peluang untuk memperdagangkan vaksin Covid-19.
Apakah tidak boleh diterima akal? Akal yang bagaimana? Mustahilkah isu vaksin ini permainan kapitalis, sama seperti negara pengeluar senjata mencipta perang untuk melariskan senjata keluaran mereka? Ini adalah contoh bahan yang mencabar pemikiran. Hal ini tidak ada dalam maklumat kering yang melimpah itu.
Bahan berpemikiran boleh menjadi penyuluh supaya berfikir lebih kritis, banyak bersoal jawab dengan diri sendiri apabila keadaan seperti ada yang tidak kena. Keluarlah dari pusaran maklumat yang melemaskan supaya kita dapat membaca peristiwa dengan lebih dalam, tepat, tajam dan sarat.
Kalau terus terpasung dengan maklumat, dibimbangi ada pihak menggunakan kelemahan itu untuk kepentingan mereka. Diberinya ‘maklumat’ dan kita pun mengunyah tanpa bertanya apakah yang dikunyah.
Era teknologi kini telah memudahkan kita mengakses bahan-bahan yang boleh mencambahkan pemikiran dan mesti diraikan dengan sebaik-baiknya. Maka jangan mengambil masa yang lama dan mulalah memanfaatkan teknologi untuk membina dan memperkasa pemikiran, peribadi dan jati diri. – UTUSAN










