MELAKA: Prebet Jantan Baba tidaklah sepopular Leftenan Adnan Saidi, namun bekas Pegawai Waran II Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) itu bukan calang-calang perwira kerana beliau juga pernah mengharumkan tanah air atas keberaniannya berjuang menentang komunis.
Anak kelahiran Kampung Melaka Pindah yang kini menginjak usia 93 tahun pernah menembak mati tujuh anggota komunis dalam satu operasi di Kenaboi, Negeri Sembilan pada 8 April 1951 yang turut menyebabkan nyawanya juga hampir melayang.
Ketika itu, platun disertai Jantan yang dipimpin Leftenan Muda PL Philcox bersama tiga buah kenderaan dari Titi ke Kongkoi, Kenaboi melalui detik mencabar apabila diserang hendap oleh komunis dari arah depan dan belakang konvoi.
“Saya berada dalam trak yang diketuai Koperal Yunus Salim sebagai kenderaan kedua, manakala Sarjan Mohd. Yasin Tamin berada dalam Land Rover sebagai kenderaan ketiga.
“Setibanya di Pondok Polis Kenaboi, kami lihat penduduk Cina yang ditahan dalam keadaan gembira dan ia menimbulkan rasa curiga walaupun mereka mendakwa kad pengenalan dirampas komunis,” katanya ketika ditemui selepas dianugerahkan pingat Bintang Cemerlang Melaka (BCM) sempena hari jadi Yang Dipertua Negeri Melaka, semalam.
Masih segar dalam ingatannya, Jantan yang mula menceburkan diri dalam bidang ketenteraan pada 1948 di Kem Port Dickson berkata, sebahagian rakannya terjun dari kenderaan sebelum kesemua mereka terkorban terkena tembakan dan serpihan bom komunis termasuklah Leftenan Muda Philcox yang pengsan terkena serpihan bom.
“Ketika itu, saya segera melepaskan asap dan berlindung di tebing walaupun suasana masih dihujani peluru dan disebabkan Leftenan Muda Philcox dan Koperal Yunus tidak dapat melaksanakan tugas, saya selaku prebet paling kanan ambil alih kepimpinan kumpulan.
“Dalam suasana getir, saya berpura-pura jerit meminta tembakan dilepaskan dan menyerbu kedudukan komunis dari kiri dan kanan sedangkan ketika itu tiada seorang pun anggota, tiga kali menjerit serang untuk takutkan komunis helah itu berjaya apabila komunis lari meninggalkan kedudukan serang hendap,” katanya.
Walau bagaimanapun, ujar Jantan, seorang anggota komunis tiba-tiba berdiri di hadapannya dan mengugut untuk menembak, namun dia tetap berdiri tegak sebelum kedua-dua mereka melepaskan tembakan.
“Mujurlah saya sempat bergerak sedikit menyebabkan pelurunya tersasar mengenai telinga dan belakang leher manakala peluru saya tepat mengenai dahinya,” katanya yang dibawa ke Hospital Besar Seremban untuk menerima rawatan.
Tambah Jantan, ketika berjumpa Philcox yang sedang menunggu jadual penerbangannya ke England, dia diberitahu bahawa namanya sudah dicadangkan untuk menerima Military Medal (MM) iaitu Pingat Keberanian British oleh Ratu Elizabeth.
Jantan juga pernah dihantar ke England selama enam bulan bagi menyertai kawad hormat ketika pertabalan Ratu Elizabeth pada 1952 sebelum bersara pada 1969 dengan jawatan terakhirnya sebagai Sarjan Mejar di Kem Batu Kentomen. – UTUSAN ONLINE










