PORT DICKSON: Walaupun tidak dapat turun ke laut susulan insiden tumpahan minyak di Pantai Cermin Isnin lalu, nelayan sekitar Port Dickson memanfaatkan peluang ‘berehat’ dengan menjala ikan belanak di sepanjang pantai Teluk Kemang.
Bagi nelayan, Tahir Yaakob, 62, dia berpeluang menjala ikan belanak sejak dua minggu lalu berkata, setiap tahun dia tidak terlepas untuk menjala ikan belanak di pantai itu.
“Memang setiap Oktober akan ada fenomena ikan belanak di pesisiran pantai. Namun, kali ini saya manfaatkan lebih banyak masa di sini berikutan insiden tumpahan minyak, menyebabkan nelayan tidak dapat ke laut.
“Ketika ini musim monsun barat daya, jadi ikan belanak jenis kedera banyak. Kadang-kadang saya boleh dapat 15 hingga 20 kilogram ikan jika saya turun pada waktu pagi dan petang,” katanya.
Jelas Tahir, untuk mendapatkan ikan tersebut, dia perlu menunggu ketika air surut dan pasang.
Arshad Saad, 59, berkata, sudah menjadi kebiasaan setiap tahun dia akan meluangkan masa untuk menjala belanak.
“Saya meluangkan lebih banyak masa berikutan kes tumpahan minyak. Oktober musim ikan ini, jadi saya ambil peluang mencari rezeki menjual kepada mereka yang berminat membeli.
“Harganya boleh mencecah sehingga RM25 sekilogram, ” katanya.
Tambahnya, sebelum ini Pantai Cermin menjadi tumpuan mereka menjala ikan tersebut.
“Lokasi yang sesuai adalah di Pantai Cermin namun kini terdapat tumpahan minyak jadi saya beralih ke pantai Teluk Kemang,” katanya di sini, semalam. – UTUSAN ONLINE










