Covid-19: Jumlah pulih atasi kes baharu - Utusan Malaysia

Covid-19: Jumlah pulih atasi kes baharu

PENIAGA pakaian di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, semalam tabah menanti pelanggan yang berkurangan sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dikuatkuasakan di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perkembangan kes positif Covid-19 sedikit melegakan apabila kes baharu menunjukkan penurunan sebanyak 152 kes kepada 649 kes berbanding 801 kes kelmarin, selain tiada kematian direkodkan.

Jumlah kes pulih pula melebihi kes positif baharu iaitu sebanyak 685 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes yang telah sembuh di negara ini berjumlah 19,757 kes manakala kes aktif kebolehjangkitan masih mencatatkan 10,087 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, walau bagaimanapun terdapat lima lagi kluster baharu dicatatkan iaitu Kluster Sakti di Lahad Datu, Sabah iaitu hasil saringan di tempat kerja (18 kes); Kluster Tuguson di Kota Belud (18), Kluster Bah Medan di Sepang (20), Kluster Taman Laut di Petaling (enam) dan Kluster Taman Bunga di Seremban, Kuala Pilah dan Jelebu.

Menurut beliau, Sabah me­re­kodkan sebanyak 352 kes dan negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan 159 kes manakala terdapat 36 kes berkaitan kluster-kluster penjara iaitu 34 kes daripada Kluster Tembok dan dua kes daripada Kluster Penjara Reman.

“Daripada 649 kes baharu ini, terdapat tujuh kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara melibatkan dua warganegara dan lima bukan warganegara.

“Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini sebanyak 30,090 kes. Sehingga kini, terdapat 106 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mana 23 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Noor Hisham berkata, perkembangan kes positif di negeri-nege­ri lain pula, Selangor mencatatkan 132 kes iaitu 70 kes daripada kluster-kluster sedia ada terma­suk enam kes dari kluster baharu iaitu Kluster Taman Laut dan Kluster Bah Medan.

Di Negeri Sembilan pula merekodkan 43 kes termasuk 16 kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Taman Bunga; Kuala Lumpur (21 kes); Labuan (17), Pulau Pinang (13), Johor (10) dan Sarawak (lapan).

“Di Perak mencatatkan lima kes, Pahang (satu kes) dan masing-masing satu kes di Melaka, Terengganu dan Putrajaya,” katanya.

Dalam pada itu, Noor Hisham memberitahu, pola peningkatan kes Covid-19 di Labuan dijangka meningkat disebabkan saringan bersasar secara besar-besaran yang dijalankan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan terutama di kawasan-kawasan berpotensi wabak dengan purata saringan berjumlah 1,500 ke 2,500 sehari.

Beliau berkata, sejak daripada permulaan wabak sehingga 26 September, Labuan hanya mencatatkan 26 kes secara kumulatif, namun mulai 27 September sehingga semalam ia bertambah sehingga 366 kes sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan berjumlah 392 kes. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN