Banyak pakatan banyak kecelaruan - Utusan Malaysia

Banyak pakatan banyak kecelaruan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
oleh AZNAN BAKAR

BEKAS Perdana Menteri Britain, Andrew Bonar Law pernah menyimpulkan cara terbaik bagi mengekalkan perpaduan nasional adalah mengetepikan perselisihan antara parti-parti politik yang bertelagah dengan bergabung membentuk satu kerajaan.

Itu yang dilakukan oleh Bonar Law apabila beliau memimpin partinya yang berasaskan kesatuan sekerja bergabung di bawah Perdana Menteri Liberal, Herbert Henry Asquith pada 1915 – ketika era Perang Dunia Pertama.

Bonar Law terus memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Asquith kerana beranggapan itu sahaja jalan terbaik untuk perpaduan dan mencapai kemenangan.

Namun pada Disember 1916, beliau hilang sabar dengan kepimpinan Asquith yang lemah dalam menghadapi perang dan telah disingkirkan daripada jawatan perdana menteri lalu Bonar Law mewujudkan kerajaan alternatif di bawah David Lloyd George dan seterusnya Bonar Law menjadi Perdana Menteri Britain pada 1922.

Ini merupakan contoh kegagalan pakatan politik ketika negara melalui zaman sukar dengan parti yang ideologi berbeza berakhir dengan kehancuran ekoran masing-masing ada agenda yang mahu ditegakkan.

Selain contoh klasik di Britain ini, terdapat banyak lagi negara yang kerajaan tumbang ekoran sikap tikam belakang dalam pakatan mereka.

Malaysia kini berhadapan dengan krisis – pandemik Covid-19 yang mula dikesan pada hujung tahun lalu kini kembali mengganas apabila jumlah kes positif setiap hari sejak seminggu lalu tidak kurang daripada 300 orang.

Sekejap sahaja negara kita mengecapi kes positif Covid-19 pada angka tunggal iaitu pada Julai lalu dan ia melonjak dengan drastik selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ketika para petugas barisan hadapan bertungkus-lumus memerangi wabak ini, pada masa sama senario politik negara kita juga hebat. Hebat dengan tikam menikam dan ugut mengugut.

Seperti mana yang berlaku antara Bonar Law dan Asquith di Britain pada 1916, politik Malaysia juga nampaknya seperti menuju ke arah yang sama. Kedua-duanya membabitkan krisis dan pakatan politik.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), yang pertama kali menyaksikan Barisan Nasional (BN) tumbang dengan pukulan KO, kerajaan dibentuk melalui gabungan beberapa parti politik iaitu PKR, DAP dan Bersatu yang membentuk Pakatan Harapan (PH).

Bersatu walaupun jumlah wakil rakyatnya kecil, namun ia diangkat menerajui kerajaan. Namun pakatan itu tidak lama. Hanya bertahan 22 bulan sahaja, apabila berlaku satu gerakan yang menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa Bersatu pimpi­nannya memisahkan diri daripada kumpulan yang menyokong Tun Dr. Mahathir, sementara Datuk Seri Moha­mad Azmin Ali membawa penyokongnya keluar daripada PKR.

Kumpulan ini berpakat pula dengan UMNO dan Pas untuk membentuk Pakatan Nasional (PN) dan seterusnya membentuk kerajaan yang dipimpin oleh Muhyiddin daripada Bersatu. Pada ketika itu semua orang tahu bahawa wakil rakyat Bersatu bukanlah majoriti dalam pakatan itu.

Sebelum itu, UMNO dan Pas pula telah membentuk pakatan mereka sendiri yang dinamakan Muafakat Nasional (MN). Malah kedua-dua parti itu telahpun berkongsi pentas ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Walaupun UMNO, Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyokong Bersatu untuk membentuk kerajaan tetapi majoriti tidak besar. Hanya dua kerusi yang memisahkan kerajaan dan pembangkang. Maka situasinya sentiasa ibarat telur di hujung tanduk atau retak menanti belah.

Dan itu nyaris terjadi apabila Biro Politik UMNO yang bermesyuarat baru-baru ini mengambil ketetapan untuk keluar daripada PN. Kalau UMNO keluar dari PN apa yang akan berlaku? Tentunya kerajaan akan tumbang.

Pada masa sama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibra­him pula mendakwa dia mem­punyai angka yang mencukupi untuk membentuk kerajaan. Angka itu pula dikatakan termasuk wakil rakyat UMNO.

Sekarang ini yang keliru adalah rakyat. Banyak sangat pakatan hingga mencetuskan ketidakstabilan politik ketika negara diasak dengan wabak yang membawa kepada krisis ekonomi.

Apa yang berlaku antara Bonar Law dan Asquith di Britain pada 1916 yang menyaksikan Asquith tersingkir daripada jawatan Perdana Menteri adalah disebabkan rasa tidak puas hati.

Hari ini rasa tidak puas hati terhadap kerajaan PN itu sudah mula timbul di pihak UMNO. Sebaik sahaja tamat PRN Sabah, UMNO merasakan mereka dipermainkan berhubung pelantikan jawatan ketua menteri dan beberapa menteri kanan di negeri itu.

UMNO merasakan diri mereka diketepikan dalam banyak hal, termasuk lantikan menteri-menteri kanan yang semuanya didakwa memihak kepada Bersatu yang menyebabkan parti yang kini dengan 39 Ahli Parlimen mengugut untuk tarik diri daripada menyokong kerajaan PN, sekali gus akan menyebabkan kejatuhannya.

Berdasarkan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan, ia memberi gambaran parti itu mahukan perjanjian bertulis hasil daripada perkembangan selepas PRN Sabah yang didapati UMNO ibarat menang sabung tapi kampung tergadai.

Malah Ahmad turut mem­bangkitkan fakta bahawa BN ada nombor iaitu mempunyai jumlah Ahli Parlimen paling banyak – 59 kerusi.

Tetapi, hasrat UMNO itu tidak disokong oleh rakan mereka dalam MN iaitu Pas yang juga merupakan parti gabungan dalam PN. Pada Pas, kerajaan yang ada sekarang adalah kerajaan ‘Yang di-Pertuan Agong’ dengan alasan pelantikan Muhyiddin atas perkenan baginda.

Daripada nada para pemimpin parti Islam itu yang baru pertama kali berada dalam Kerajaan Persekutuan, memberi gambaran mereka tidak bersedia untuk mengorbankan kedudukan yang baru dinikmati itu.

Apa pun banyak pakatan yang wujud ini menimbulkan banyak pula kekeliruan dan menampakkan pelbagai sisi rapuh apabila ada pihak yang menarik diri. Ini terbukti berlaku kepada PH yang dianggap sebagai kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Begitu juga dengan MN yang dilihat hanya pakatan atas kertas yang tidak diterjemahkan secara konkrit melalui kesepakatan politik kecuali pada PRK lalu. Kalau UMNO berhenti menyokong PN, rasanya Pas tidak akan berbuat demikian.

Hasilnya wujudlah politik ugutan, politik bersyarat dan politik ungkit-mengungkit. Yang pening adalah rakyat yang ketika ini teruk dibadai wabak Covid-19 serta krisis ekonomi yang menyaksikan hampir sejuta orang bakal terjerumus di bawah garis kemiskinan.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN