SEREMBAN: Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bertanding di 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah sebagai landasan untuk menilai penerimaan pengundi terhadap parti itu.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PRN Negeri Sembilan merupakan pertama kali Bersatu menggunakan logonya sendiri dalam pilihan raya oleh itu penerimaan orang ramai di sesuatu kawasan masih belum dapat diketahui dengan jelas.
Beliau bagaimanapun mengakui, jumlah 24 kerusi ditandingi itu sudah memadai untuk Bersatu bertanding daripada keseluruhan 36 kerusi DUN yang ada
“Bagi saya mencukupi tidak semestinya bertanding semua kerusi, kita telah putuskan di mana paling sesuai di sesuatu kawasan untuk kami letakkan calon.
“Kalau boleh kami mahu menang semua, tetapi tidak apa, pasal ini kes pertama, kami tidak begitu pasti, kali pertama, kalau biasa mungkin boleh baca tetapi kali ini saya tidak pasti bagaimana.
“Kami ambil bilangan sebegitu supaya dapat menilai penerimaan pengundi terhadap perjuangan Bersatu, diterima ataupun tidak,” katanya semasa sidang akhbar selepas mengumumkan calon Bersatu bagi PRN Negeri Sembilan di Nilai di sini hari ini.
Muhyiddin sementara itu berkata, masih terlalu awal untuk Bersatu menyatakan calon Menteri Besar bagi mewakili parti itu di Negeri Sembilan.
“Ia tidak dibincangkan tentang ‘poster boy’ dan manifesto masih agak awal, selepas dihebahkan berita ini kamubmahu lihat respon rakyat Negeri Sembilan.
“Lihat dalam tempoh dua minggu ini macam mana dan kalau memberangsanglan kami akan duduk bincang dan atur strategi langkah seterusnya kalau perlu bentang manifesto dan siapakah boleh kami ketengahkan sebagai pemimpin masa depan,” katanya lagi. – UTUSAN










