PRK Batu Sapi: Kekalkan kepada Warisan? - Utusan Malaysia

PRK Batu Sapi: Kekalkan kepada Warisan?

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Warisan Sabah (Warisan) pimpinan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berpeluang mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi, Sandakan yang pada ketika ini kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong, 2 Oktober lalu.

Ini berikutan cadangan Ke­tua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki kepada pucuk pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk tidak meletakkan mana-mana calonnya bagi merebut kerusi tersebut pada pilihan raya kecil (PRK) Batu Sapi akan datang.

“Kita mencadangkan demi­kian dengan mengambil kira kegawatan penularan pandemik Covid-19 yang semakin meluas di Sabah hingga boleh mencetuskan risiko keselamatan kepada rakyat di negara ini.

“Kita juga mengesyorkan cadangan sama kepada semua rakan parti lain termasuk gabu­ngan politik Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali gus mengekalkan status quo kerusi ini di bawah Wa­risan menjelang PRK,” katanya.

Jumaat lalu, Vui Keong me­rangkap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri me­ninggal dunia disyaki akibat jangkitan paru-paru ketika mene­rima rawatan di hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah.

Kematian mendiang membuka jalan kepada PRK di kawasan Parlimen ber­kenaan namun apa yang menjadi keresahan semua pihak adalah PRK berlaku di tengah pandemik Covid-19 semakin berkembang terutama selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Sementara itu, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan akan berbincang dengan PN untuk meletakkan calon pada PRK Batu Sapi.

BUNG MOKTAR RADIN

Namun pihaknya menunggu keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai perkara yang ditetapkan dalam PRK terlebih dahulu sebelum membuat keputusan tentang pemilihan calon.

“Soal calon kita akan bincang dengan PN di Sabah, tapi kita kena tunggu dulu apa yang diputuskan SPR kerana mengikut enakmen, PRK perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

“Kemudian baru kita akan putuskan mengenai calon dalam satu mesyuarat bersama parti komponen PN,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut mengenai keadaannya kini, Bung berkata, beliau telah melakukan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) bagi mengesan virus Covid-19. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN