Warisan silap main sentimen kenegerian - Utusan Malaysia

Warisan silap main sentimen kenegerian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kesilapan besar yang dilakukan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ketika berkempen sehingga mendorong kepada kekalahannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ialah menggelarkan partinya sebagai parti tempatan.
Berpegang pada prinsip itu, Mohd. Shafie berulang kali mengingatkan pengundinya untuk terus memihak kepada Warisan dan tidak mahu mana-mana pengaruh dari Semenanjung Malaysia mentadbir Sabah walhal hakikatnya, Warisan sendiri bekerjasama dan mempunyai hubungan rapat dengan DAP dan PKR.
Penganalisis politik, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Lee Kuok Tiung berkata, kekhi­lafan Warisan mula timbul apabila Warisan bermain sentimen kenegerian atas dasar tidak mahu negeri itu dinaungi pihak luar khususnya di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Dalam kempen mereka melaungkan parti mereka parti orang asal di negeri ini tetapi umum mengetahui bahawa dalam istilah tempatan juga ada DAP dan juga PKR.
“Sabah tidak perlu ada sentimen. Memanglah sentimen kenegerian mampu meraih undi tetapi tidak perlu keterlaluan sebab tidak mungkin Sabah keluar dari Malaysia. Mahu tidak mahu untuk membangunkan Sabah, kerajaan negeri mesti menjalin hubungan dengan kerajaan Persekutuan.
“Pada 30 Julai lalu semasa Shafie mengumumkan pembubaran DUN, beliau sendiri yang berkata rakyat yang akan tentukan siapa kerajaan mentadbir negeri ini dan semalam telah membuktikan rakyat memilih siapa yang kita mahu menjadi kerajaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Sabtu lalu, seluruh negara menyaksikan detik bersejarah apabila Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi 38 daripada 73 kerusi.
Sementara itu, penganalisis politik, Dr. Romzi Ationg pula berkata, meskipun berbeza fahaman politik dengan kerajaan Persekutuan, Warisan seharus­nya mengetepikan egonya demi memastikan kemajuan di Sabah dapat dicapai.
“Warisan silap langkah apabila cuba berseteru dengan kerajaan Persekutuan. Apabila berlaku seperti ini, rakyat di luar bandar dan dalam bandar melihatnya sebagai kurang tepat. Kita memerlukan koordinasi antara Persekutuan dan negeri untuk melaksanakan pembangunan di Sabah,’’ katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN