KUALA LUMPUR: Walaupun Sabah sudah mempunyai Ketua Menteri baharu selepas Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Hajiji Noor mengangkat sumpah semalam, ia bukan jaminan gabungan politik Perikatan Nasional (PN) dengan kerjasama Barisan Nasional (BN) kekal stabil.
Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Romzi Ationg menjangkakan, perubahan juga boleh berlaku pada bila-bila masa jika keinginan parti komponen tidak ditunaikan.
Justeru, katanya, PN harus memastikan semua penyokongnya tidak beralih arah selain memastikan hubungan dengan UMNO kekal terjalin.
“Saya mengandaikan sekurang-kurangnya PN, BN atau Parti Warisan Sabah (Warisan) memperoleh 37 kerusi namun sekarang, kita pula bercelaru parti mana yang terbaik kerana tiada satu parti pun yang mendapat majoriti.
“Jika Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) tiba-tiba bergabung dengan Warisan, maka majoriti yang ada pada GRS sudah tidak bermakna lagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Corak politik dan hala tuju pentadbiran Sabah menjadi titik perbincangan selain menguji barisan pimpinan baharu selepas upacara angkat sumpah semalam.
Sementara itu, Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Jayum Jawan berkata, sistem politik di Sabah akan terus bergolak disebabkan PN memperoleh majoriti tipis.
“Hajiji perlu mengemudi sendiri negeri ini demi menghormati rakyatnya yang berbilang dan bukannya dikemudi oleh PN dari Semenanjung. Ini bermaksud, beliau harus bijak dalam mencorakkan kepemimpinannya sendiri dan bukan dikawal oleh pemimpin yang lebih tinggi dalam partinya,” katanya.
Bagi penganalisis politik, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Madya Dr. Jeniri Amir, tidak ada alasan untuk gabungan itu tewas sebelum membuktikan kemampuannya mentadbir negeri itu melihat kepada kerajaan negeri mempunyai hubungan sehaluan dengan kerajaan Persekutuan.
Beliau turut percaya keadaan ini bukan sahaja memudahkan usaha memenuhi tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) malah, peruntukan untuk pembangunan negeri Sabah juga dapat disalurkan secara terus melalui kerajaan Persekutuan.
“Paling penting ialah bagaimana Hajiji menguruskan kuasanya dan mewujudkan semangat berpasukan dalam kalangan pemimpin parti yang membentuk perikatan itu. Mereka harus bersikap terbuka menerima pandangan semua pihak dalam komponen parti,” katanya.










