KUALA LUMPUR: Cadangan pilihan raya perwakilan berkadar (PR) di peringkat parlimen yang bertujuan mengekang wakil rakyat membelot dan lompat parti merupakan inisiatif yang baik, namun memerlukan kajian menyeluruh sebelum dilaksanakan.
Penganalisis politik, Prof. Dr Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, amalan sistem pilihan raya bukan berasaskan calon itu perlu dipertimbangkan sama ada sesuai untuk dijalankan di negara ini atau tidak berikutan pola kaum pelbagai serta demografi yang berbeza.
“Paling penting ialah rakyat kena dididik dengan sistem baharu ini kerana mereka akan terkejut sekiranya tidak memahami prosesnya bagaimana.
“Contohnya, sekiranya berlaku pilihan raya kecil (PRK) disebabkan ada ahli parlimen yang meninggal dunia…ini melibatkan kos. Jadi kekosongan yang ada hanya perlu ditambah balik berdasarkan konsensus di dalam parti. Ini sudah menjimatkan kos, tidak perlu berkempen serta dapat mengelakkan pilihan raya kecil berlaku,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan cadangan Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman untuk mengubah sistem pilihan raya di kawasan parlimen dan mengekalkan sistem sedia ada iaitu first-past-the-post (FPTP) di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ab. Rashid menyifatkan sistem tersebut lebih adil dan telus disamping tidak memerlukan pilihan raya kecil (PRK) diadakan sekiranya seseorang ahli Parlimen berpaling tadah atau meninggal dunia kerana kerusi yang dikosongkan itu kekal menjadi milik parti yang menang.
Pilihan raya perwakilan berkadar menetapkan pengundi hanya akan mengundi parti yang difikirkan layak membentuk kerajaan dan bukannya bersandarkan kepada profil seseorang calon.
Ia merupakan salah satu perkara yang tersenarai dalam 49 syor untuk penambahbaikan sistem pilihan raya negara yang telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin 27 Ogos lalu.
Sistem tersebut amat popular di negara maju terutamanya di Eropah Barat, Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand kerana pembangunan dan kemajuannya dikatakan hampir seimbang bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa proses pembangunan dan penyampaian perkhidmatan awam lebih tertumpu di kawasan bandar berbandig luar bandar.
Mengulas lanjut, ditanya sekiranya ahli Parlimen yang menang dalam pilihan raya adalah kerajaan manakala kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) ditadbir oleh pembangkang yang mungkin tidak sehaluan, Azizuddin menafikan wujud masalah antara kedua-dua pihak.
Bagaimanapun, seorang lagi penganalisis politik, Mohd. Amirul Akhbar pula tidak senada dengan Azizuddin dan berkata, penting untuk kerajaan memberi perhatian dalam usaha menggubal Akta Anti Lompat Parti kerana tidak ada keperluan untuk pilihan raya tersebut dilaksanakan.
“Mengapa susah sangat buat akta anti lompat parti? Buatlah berapa jenis pilihan raya sekalipun, ini tidak akan menjanjikan wakil rakyat tidak melompat parti. Kita kena ambil kepentingan negara.
“Perdebatan undang-undang perlu bermula dari sekarang demi kebaikan negara kerana kematangan kita berpolitik belum sampai ke tahap yang sepatutnya,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik, Shahnon Mohamed Salleh mecadangkan sistem pilihan raya di negara ini hanya perlu ditambah baik.
“Saya lebih cenderung untuk kerajaan memperbaiki sistem sedia ada contohnya, meningkatkan aspek ketelusan proses pengundian, dipercepat soal pendaftaran pemilih, kawasan-kawasan pilihan raya dipastikan lebih seimbang antara bandar dan luar bandar,” katanya.
Turut menyokong, penganalisis politik, Prof. Madya Dr. R. Sivaperegasam Rajanthiran yang mempersoalkan sama ada pengundi di kawasan parlimen itu mengenali calon tersebut dengan lebih dekat.
“Kemungkinan akan wujud masalah kerana rakyat tidak mengenali hati budi, kekuatan dan kelemahan yang ada dalam diri seseorang calon lebih-lebih lagi jika ahli parlimen itu daripada kerajaan manakala DUN pula daripada pembangkang,” katanya.










