Penyata bayaran peneroka terkeliru? - Utusan Malaysia

Penyata bayaran peneroka terkeliru?

GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isu ‘panas’ membabitkan penyata bayaran hasil peneroka sehingga dikatakan ada yang menerima upah bersih RM50 mungkin timbul disebabkan kekeliruan.
Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff berkata, masalah timbul kerana ada segelintir peneroka menggunakan konsep ‘ambil dahulu bayar kemudian’ di mana-mana kedai Felda le­bih-lebih lagi barangan keperluan harian.
Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan berkaitan butiran penyata bayaran hasil dan pemotongan yang dibuat Felda kepada peneroka sebelum ini termasuk mereka yang ‘berpendapatan’ RM1,000 dan ke bawah.
“Tidak ada peneroka yang tidak makan kerana bayaran. Isu ini wujud sebab ada kekeliruan antara peneroka dan pengurusan Felda.Ada segelintir pene­roka ‘ambil dahulu bayar kemudian’ (barangan keperluan). Jadi tidak mustahil Felda membuat pemotongan. Mereka perlu i­ngat hutang tetap perlu dibayar.
“Sehingga kini, kita telah mengadakan pertemuan de­ngan pengurusan (Felda) untuk membincangkan masalah tersebut baru-baru ini dan Felda beri tempoh sehingga hujung bulan September untuk menyelesaikan masalah ini ,” jelasnya.
Beliau mengulas isu penyata bayaran hasil Felda tanpa butiran terperinci sehingga ada peneroka berdepan masalah kesempitan wang.
Dalam laporan Mingguan Malaysia kelmarin, isu yang berlanjutan kira-kira tiga bulan lalu berpunca daripada masalah teknikal dan telah diadukan kepada pengurusan, namun masih berlanjutan sehingga kini.
Dalam pada itu, Pengerusi Generasi Baharu Felda, A. Rashid Ridha Muhamad berkata, perkara meragukan timbul apabila ada pemotongan dibuat membabitkan kos operasi ladang.
“Contohnya kita serah ladang kepada Felda untuk diuruskan. Tapi ada beberapa isu berbangkit seperti hasil yang tidak memuaskan dan tidak diuruskan dengan baik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN