ALOR SETAR: Kerajaan perlu membelanjakan antara RM25.6 juta hingga RM36.6 juta untuk melaksanakan saringan Covid-19 ke atas semua 366,787 orang penduduk di 28 mukim di daerah Kota Setar di sini.
Penduduk di 28 mukim terse-but sepatutnya menjalani sa-ringan Covid-19 selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat-kan Secara Pentadbiran (Temco) susulan Kluster Sungai dan Telaga dikuatkuasakan bermula semalam hingga 25 September ini.
Menurut sumber, kos saringan Covid-19 bagi setiap individu dianggarkan antara RM70 hingga RM100.
“Berdasarkan pelaksanaan Temco di Kluster Sivagangga di tiga mukim di Kubang Pasu dan satu mukim di Padang Terap serta Temco bagi Kluster Tawar di Amanjaya, Sungai Petani mendapati hampir semua penduduk di kawasan terlibat disaring.
“Kira-kira 4,000 penduduk yang tinggal di empat mukim di Kubang Pasu dan Padang Terap menjalani saringan tersebut.
“Manakala kira-kira 22,000 penduduk di kawasan Amanjaya juga menjalani saringan itu,” katanya di sini semalam.
Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penguatkuasaan Temco di 28 mukim daerah Kota Setar, Kedah mulai pukul 12.01 tengah malam hingga 25 September.
PKPD Pentadbiran di daerah Kota Setar ini akan membabitkan seramai 366,787 penduduk.
Bagaimanapun, sumber itu menambah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) difaham-kan tidak melakukan saringan Covid-19 itu ke atas semua penduduk di 28 mukim di daerah tersebut.
Menurutnya, KKM hanya melakukan saringan itu ke atas penduduk yang mempunyai kontak rapat dan mempunyai kaitan sahaja memandangkan jumlah penduduk di daerah itu yang terlalu ramai.
“KKM perlu membelanja-kan kos yang tinggi sekiranya kesemua penduduk terlibat diwajib melakukan saringan,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) di Jalan Langgar di sini mendapati pelajar dan guru diarah menjalani ujian saringan Covid-19 bagi Kluster Sungai mulai semalam.
Difahamkan, terdapat warga KSAH yang mempunyai kontak rapat dan kaitan dengan kes positif bagi kluster tersebut.
Terdapat 800 pelajar dan guru di KSAH.
Lebih 20 petugas Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar melakukan proses ujian saringan di dua khemah yang dibina di pekarangan sekolah berkenaan.










