Baik buruk budaya politik baharu

Baik buruk budaya politik baharu

BUDAYA politik baharu memperlihatkan perubahan besar daripada politik berasaskan kesetiaan kepada politik yang lebih bersifat individu dan terbuka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUDAYA politik masa kini memperlihatkan perubahan yang sangat ketara berbanding politik generasi terdahulu.

Jika dahulu politik dibina atas asas kesetiaan kepada parti, perjuangan ideologi serta penghormatan kepada kepimpinan, namun hari ini landskap politik menjadi lebih terbuka, agresif dan kadangkala mengelirukan masyarakat.

Apabila seseorang pemimpin tidak lagi memenuhi kehendak atau cita-cita individu tertentu, maka konflik akan tercetus. Individu tersebut mungkin memilih untuk keluar parti, menubuhkan parti baharu atau menjadi penentang paling keras terhadap organisasi yang pernah mereka pertahankan suatu ketika dahulu.

Ini menyebabkan masyarakat melihat politik sebagai medan perebutan kuasa semata-mata. Parti politik tidak lagi dilihat sebagai institusi perjuangan tempat berlindung tetapi lebih kepada platform sementara untuk mencapai kepentingan tertentu.

Lebih membingungkan, pemimpin yang dahulunya mempertahankan parti habis-habisan boleh berubah menjadi pengkritik paling lantang selepas meninggalkan sesebuah parti.

Mereka mula mendedahkan kelemahan, rahsia dalaman dan keburukan organisasi lama kepada umum. Tindakan ‘melondehkan’ segala kelemahan parti lama ini akhirnya menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat, jika benar parti itu buruk, mengapa mereka dahulu sanggup mempertahankannya?

Budaya politik seperti ini turut dipengaruhi perkembangan media sosial. Kini segala konflik dipaparkan secara terbuka di media sosial, sidang media dan platform digital.

Ahli politik berlumba-lumba mendapatkan perhatian rakyat melalui kenyataan sensasi dan pendedahan kontroversi. Politik menjadi semakin emosional dan dramatik. Semua ini dilihat sebagai ‘drama’ yang ingin mencari peminat. Kadangkala perbahasan tentang dasar, ekonomi dan kebajikan rakyat tenggelam akibat pertelingkahan peribadi antara pemimpin.

Budaya politik baharu juga menjadikan rakyat semakin sukar mempercayai ahli politik. Perubahan pendirian yang terlalu cepat menimbulkan persepsi bahawa prinsip perjuangan boleh dijual beli demi kepentingan tertentu.

Hari ini seseorang boleh memuji seorang pemimpin tetapi esok boleh menjadi musuh politik yang paling keras. Keadaan ini menyebabkan rakyat berasa kecewa dan keliru tentang siapakah yang benar-benar ikhlas memperjuangkan nasib masyarakat.

Walau bagaimanapun, perubahan budaya politik ini juga mempunyai sisi positif tertentu. Dalam sistem politik moden yang lebih terbuka, rakyat mempunyai peluang untuk mengetahui kelemahan dan masalah dalaman sesebuah parti.

Ketelusan ini boleh menjadi mekanisme semak dan imbang terhadap penyalahgunaan kuasa. Pemimpin tidak lagi boleh berselindung di sebalik budaya ‘taat membuta tuli’ seperti dahulu. Ahli parti juga lebih berani menyuarakan pandangan dan menegur kepimpinan secara terbuka.

Namun demikian, kebebasan tanpa batas juga boleh merosakkan kestabilan politik negara. Jika setiap perbezaan pendapat berakhir dengan perpecahan dan penubuhan parti baharu, maka politik negara akan menjadi semakin tidak stabil.

Terlalu banyak parti dan konflik peribadi akhirnya menyebabkan rakyat hilang fokus terhadap isu sebenar seperti ekonomi, pendidikan dan kos sara hidup.

Budaya politik baharu memperlihatkan perubahan besar daripada berasaskan kesetiaan kepada bersifat individu dan terbuka. Perubahan ini memberi ruang kepada kebebasan bersuara dan ketelusan tetapi pada masa sama menimbulkan kekeliruan, ketidakstabilan dan krisis kepercayaan rakyat terhadap ahli politik.

Oleh itu, pemimpin politik perlu mencari keseimbangan antara keberanian menegur dan kesetiaan terhadap perjuangan agar politik tidak hanya menjadi medan perebutan kuasa tetapi benar-benar berfungsi untuk kepentingan rakyat dan negara.-UTUSAN

ZAMRI PRK
Pusat Asasi,
Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia (UIAM), Gambang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN