Penjawat awam perlu bersikap neutral

Penjawat awam perlu bersikap neutral

SIKAP neutral penjawat awam akan menentukan Malaysia terus menjadi sebuah negara demokrasi yang stabil dan berintegriti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ESOK rakyat Johor akan mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sementara Negeri Sembilan tidak lama lagi.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) sudah mengingatkan penjawat awam tidak boleh menunjukkan sokongan kepada mana-mana parti politik. Mereka juga dilarang terlibat secara terbuka dalam aktiviti kempen.
Ada beberapa sebab mengapa perkara ini penting, antaranya :

  • Untuk menjaga kestabilan pentadbiran. Apabila sudah mempunyai keputusan pilihan raya, pentadbiran kerajaan perlu terus bergerak. Penjawat awam perlu bersedia untuk bekerjasama dengan kepimpinan baharu. Mereka tidak boleh membiarkan perasaan peribadi atau kecenderungan politik mengganggu tugas. Ini penting supaya perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas.
  • Untuk melaksanakan amanah rakyat. Setiap kerajaan baharu akan membawa manifesto dan dasar mereka. Penjawat awam adalah orang yang akan melaksanakan dasar-dasar tersebut. Jika penjawat awam berat sebelah atau memihak kepada parti tertentu boleh menyebabkan pelaksanaan dasar menjadi tidak adil sehingga merugikan rakyat. Oleh itu, penjawat awam perlu memberi perkhidmatan tanpa mengira latar belakang politik seseorang.
  • Untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa. Selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, pastinya kerajaan sedia ada hanya bertindak sebagai kerajaan sementara. Dalam tempoh ini, penjawat awam perlu berhati-hati supaya pengumuman peruntukan atau projek baharu tidak disalahgunakan untuk kepentingan kempen politik. Badan seperti Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) juga pernah mengingatkan agar agensi kerajaan kekal neutral selain tidak melibatkan calon dalam program kerajaan yang boleh dianggap sebagai kempen.

Namun, perkara ini hanya akan menjadi masalah besar jika penjawat awam membiarkan perasaan peribadi mereka mempengaruhi prestasi kerja.

Tugas utama penjawat awam adalah menjadi pelaksana dan pengawas pentadbiran yang bebas daripada pengaruh politik. Jika mereka boleh dipengaruhi atau ditekan, boleh menjejaskan kredibiliti seluruh institusi kerajaan.

Sikap neutral penjawat awam akan menentukan Malaysia terus menjadi sebuah negara demokrasi yang stabil dan berintegriti.

Penjawat awam perlu berdiri teguh sebagai tonggak pentadbiran yang tidak berubah. Tidak kira siapa yang memerintah, perkhidmatan mereka adalah untuk rakyat dan negara, bukan untuk mana-mana parti politik. Inilah amanah yang perlu mereka pikul dengan penuh tanggungjawab. –UTUSAN

DR. LUQMAN MAHMUD
Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan,
Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN