KUALA LUMPUR: Situasi politik yang berlaku di Sabah dengan menyaksikan kemelut pemilihan ketua menteri selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah boleh berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketika rakyat mengharapkan masalah politik tidak stabil di negeri itu berakhir, perkara sebaliknya berlaku apabila diheret dalam masalah pelantikan ketua menteri yang sepatutnya diselesaikan sejurus selepas pilihan raya selesai.
Situasi berkenaan berlaku disebabkan tiada satu parti dominan berikutan pembentukan gabungan setiap kali berlangsungnya pilihan raya sama ada melibatkan parti pemerintah mahupun pembangkang.
Hal ini bermakna tiada parti benar-benar kuat yang mana keadaan sama boleh berterusan sehingga PRU-15 sekali gus tidak menyelesaikan masalah kerajaan tidak stabil pada masa akan datang.
Penganalisis politik Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) , Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain, jika kerajaan gabungan ‘lemah’ terbentuk, masalah ‘lompat-melompat’ tetap berlaku lebih-lebih lagi di negeri seperti Sabah yang dilihat ia sebagai satu budaya.
Sehubungan itu, katanya, adalah penting untuk semua parti politik mencapai kata putus dalam semua aspek untuk mengelakkan pertikaian atau kemelut berlaku selepas pilihan raya diadakan.
“Politik kerjasama menjadi lebih penting kerana ia bukan sahaja terhenti sebaik sahaja pilihan raya. Selepas itu ada proses tawar menawar masih lagi berlaku jika ada perkara yang tidak dapat diselesaikan.
“Malah, perlu ada senarai barisan Kabinet bayangan walaupun ia mungkin berubah mengikut peredaran masa untuk mengelakkan adanya pertikaian dalam beberapa jawatan sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Tambah Mohd. Izani, setiap gabungan juga perlu meletakkan kepentingan rakyat sebagai salah satu teras utama dalam ‘seni’ politik mereka dan bukan berlandaskan kuasa atau kepentingan sendiri semata-mata.
Dalam pada itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN). Dr. Jeniri Amir berkata, prinsip menang-menang membabitkan parti dalam gabungan perlu diterapkan.
“Contoh paling mudah apabila ada parti yang menang dengan kerusi terbanyak akan dilantik menjadi ketua enteri atau jawatan penting yang lain. Kalau tidak dapat menerusi kaedah ini, perlu ada prinsip menang-menang
“Sebagai contoh, kalau jawatan ketua menteri diberi kepada Barisan Nasional (BN), jawatan lain perlu diberi kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Itu jalan terbaik,”ujarnya.










